Lelaki diberkas selepas samun warga bangladesh

Iklan

SUNGAI BULOH - Polis memberkas seorang penyamun selepas bergelut dalam kejadian di Bukit Rahman Putra, di sini semalam.

Ketua Polis Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, mangsa seorang lelaki warga Bangladesh yang hendak melintas jalan menuju ke tempat kerja di sebuah stesen minyak telah disamun seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga.

Iklan
Iklan

"Suspek telah mengambil telefon bimbit dan dompet berisi wang kira-kira RM100 milik mangsa.

"Secara kebetulan sebuah kereta peronda polis (MPV) melihat kejadian dan telah mengejar suspek. Mangsa mengatakan terdapat seorang lagi lelaki di dalam kereta bersama suspek," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Beliau berkata, sebaik sahaja dapat memberhentikan kereta suspek yang tersalah masuk jalan sehala, salah seorang suspek telah melarikan diri.

Katanya, anggota polis berjaya menahan pemandu kereta itu biarpun suspek bertindak melanggar kereta peronda terlibat.

Iklan

"Kejadian menyebabkan anggota tersebut cedera pada lutut semasa insiden mengejar dan bergelut dengan suspek semasa ditangkap," katanya.

Tambahnya, semakan lanjut mendapati suspek berusia 22 tahun mempunyai lima rekod jenayah lampau.

"Usaha memburu seorang lagi suspek yang sudah dikenal pasti dan masih bebas itu sedang dijalankan.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/353 Kanun Keseksaan," katanya.