ALOR SETAR - Perkhidmatan teksi motosikal atau dikenali Gojek, dicadangkan tanpa melakukan kajian menyeluruh, selain tidak melihat kerangka makro bagi meningkatkan tahap pendapatan, kemahiran, serta keboleh pasaran tenaga kerja kalangan anak muda.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, idea Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu hanyalah satu lagi idea tanpa berfikir panjang menteri Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, pihaknya turut mempertikai hala tuju Gojek kerana ia bersifat karier sementara, bukannya solusi kerjaya masa depan.
"Bagi kami, ini langkah mundur kerajaan PH yang akan menyempitkan produktiviti anak muda Melayu.
"Selepas ‘kejayaan terbesar’ kerajaan perkenalkan kasut hitam pelajar sekolah, kini diluluskan pula perkhidmatan Gojek,” katanya.
Syed Mohd Johan Rizal berkata, sepatutnya anak muda diberikan bimbingan, latihan berkemahiran tinggi dengan mewujudkan lebih banyak pusat latihan dan menerokai pelbagai bidang industri serta peluang keusahawanan berimpak tinggi.
"Namun, perkara ini tidak pula diperjuangkan menteri, malah dikurangkan peruntukan dalam bajet negara. Entah apa dalam fikiran Syed Saddiq apabila melobi bagi melaksanakan Gojek di negara ini,” katanya.
Menurutnya, sudah tentu anak muda Melayu yang akan memilih kerjaya ini terutama lepasan sekolah yang mahukan duit poket segera, berbanding kaum lain.
"Setakat itu sajakah kerajaan mahu melihat keupayaan anak muda Melayu? Apa hala tuju mereka selepas bekerja setahun dua? Apa manfaat masa depan selepas itu. Karier ini hanya sesuai sebagai ‘part-time’, bukan solusi masa depan,” katanya.
Syed Mohd Johan Rizal mempersoal sama ada ini helah Syed Saddiq untuk mencari jalan mudah menyelesaikan janji PRU14 lalu, yang mahu menyediakan sejuta peluang pekerjaan.
"Adakah Gojek menjadi pilihan kepada penyelesaian itu? Janganlah persendakan golongan muda yang diberikan harapan ketika itu. Janganlah umpama melepaskan batuk di tangga, menyelesaikan isu hanya dengan aplikasi mudah online,” katanya.
Menurutnya, adalah lebih baik kerajaan mengkaji semula pelaksanaan Gojek atas pelbagai faktor.
"Kerajaan PH jangan malu untuk U-turn sekali lagi demi keselamatan dan masa depan anak muda,” katanya.
Syed Mohd Johan Rizal berkata, pada tahun 2017, jumlah kematian akibat kemalangan motosikal di seluruh negara adalah 4,348 orang atau purata hampir 12 orang terkorban setiap hari.
"Bukankah data ini membimbangkan, pastinya kadar kemalangan dan korban akibat kemalangan motosikal akan meningkat apabila Gojek beroperasi kerana kecenderungan mengejar pelanggan selain keletihan,” katanya.
Menurutnya, aspek keselamatan, sosial, potensi diragut dan samun serta rogol juga harus diberikan penekanan sekiranya mahu melaksanakan Gojek.