Jauhi arak, tipu daya syaitan

Iklan
Gambar Hiasan

SHAH ALAM - Islam melarang keras perbuatan meminum arak dengan ancaman hukuman berat demi memelihara akal dan kemaslahatan masyarakat.

Dalam teks Khutbah Jumaat terbitan Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) semalam, khatib mengingatkan, peminum arak yang disabitkan kesalahan akan dikenakan sebatan hudud sebanyak 40 kali.

Iklan
Iklan

"Selain itu, ibadah orang yang meminum arak tidak diterima ALLAH. Bahkan, peminum arak tidak akan merasai kelazatan arak di syurga yang lebih lazat dan tidak memabukkan," memetik khutbah berkenaan.

Malangnya masih ada lagi orang yang menganggap bahawa arak adalah minuman yang berprestij tinggi dan sebagai satu kebanggaan kerana terpengaruh dengan budaya luar.

Iklan

Ada pula yang mempercayai arak sebagai sumber yang menguntungkan.

Justeru khatib mengingatkan, semua itu merupakan tipu daya syaitan yang mahu menyesat dan merosakkan umat Islam.

Iklan

"Oleh itu, kita hendaklah sedar bahawa masih banyak sumber rezeki yang halal telah disediakan ALLAH SWT di muka bumi ini. Jangan kita lupa yang hasil pendapatan dari perniagaan arak hanya akan menghilangkan keberkatan daripada rezeki kita itu.

"Sesungguhnya, orang yang meninggalkan perkara yang dilarang ALLAH, akan dijanjikan rezeki dan jalan keluar bagi segala masalahnya," katanya.

Ibu segala maksiat

Arak antara larangan wajib dipatuhi orang Islam kerana ia menyebabkan sesiapa yang meminumnya mabuk dan hilang pertimbangan.

Khutbah tersebut menjelaskan, apabila akal tidak dapat berfungsi dengan baik untuk mengawal pergerakan dan perbuatan manusia, maka ia sangat terdedah kepada perlakuan negatif serta buruk.

Kerana itulah, arak disebut sebagai ibu segala maksiat.

Berdasarkan beberapa kajian, keburukan meminum arak telah terbukti antaranya;

Pertama: Kajian menunjukkan, terdapat hubung kait ketara antara ketagihan arak oleh suami atau isteri yang mengakibatkan keganasan rumahtangga terhadap pasangan masing-masing.

Kedua: Kajian juga menunjukkan, kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol telah menyumbang kepada banyak kes kemalangan maut.

Ketiga: Dalam kes berlaku pada September 2018 lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seramai 19 individu maut selepas meminum arak yang mengandungi metanol, manakala 23 lain masih dirawat di hospital termasuk 14 daripadanya dalam keadaan kritikal.