KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melanjutkan waktu operasi kaunter sehingga jam 10.30 malam untuk pembelian tiket awal bagi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan tren Intercity berkuatkuasa hari ini.
Menurut kenyataan KTMB, pertukaran waktu operasi melibatkan 14 kaunter di Lembah Klang iaitu Pelabuhan Klang, Klang, Shah Alam, Subang Jaya, Kepong Sentral, Kepong, Sungai Buluh, Rawang, Tanjung Malim, Kuala Kubu, Batang Kali, Serdang, dan Kajang.
Iklan
Iklan
Perubahan jadual itu turut melibatkan tiga kaunter di Wilayah Utara iaitu Padang Besar (5 pagi-10.30 malam), Arau (5.30 pagi-10.30 malam) dan Parit Buntar (6 pagi-10.30 malam).
Waktu operasi kaunter bagi pembelian tiket awal perkhidmatan tren ETS dan Intercity sebelum ini adalah pada jam 8.30 pagi hingga 6.30 petang sahaja.
Perubahan jadual waktu itu juga melibatkan perkhidmatan kaunter di KL Sentral yang akan beroperasi dari 5.30 pagi hingga 12.30 malam dan Kuala Lumpur (6.45 pagi hingga 10.10 malam) manakala waktu operasi di Alor Setar, Sungai Petani, Bukit Mertajam, Butterworth dan Taiping dikekalkan seperti biasa.
Pengguna boleh mendapatkan keterangan lanjut berhubung waktu operasi kaunter bagi kedua-dua perkhidmatan tren itu dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200. - Bernama