Jualan minuman keras secara terbuka tidak dibenarkan

Iklan
Datuk Dr Ismail Salleh
ALOR SETAR - Kedah tidak membenarkan mana-mana premis mempromosi dan menjual minuman keras secara terbuka di negeri ini.

Exco Agama dan Kesihatan, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, penguatkuasaan bersepadu akan dilakukan terhadap premis yang melanggar peraturan.

Menurutnya, bawah Seksyen 17 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah, individu yang membuat, menjual, menawarkan atau mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli minuman memabukkan adalah suatu kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya.

"Manakala individu yang minum minuman memabukkan di tempat awam, juga suatu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya,” katanya.

Dr Ismail berkata, pihaknya bersedia melakukan penguatkuasaan bersepadu sekiranya mendapat aduan daripada orang ramai.

"Jika ada pasar raya jual minuman itu secara terbuka, buat aduan kepada pihak berkuasa. Dibimbangi premis salah guna kebenaran lesen,” katanya.

Menurutnya, penguatkuasaan bersepadu membabitkan Jabatan Imigresen, polis, pejabat daerah dan jabatan agama, namun sehingga kini tiada kesalahan direkodkan terhadap mana-mana premis susulan tiada aduan dan terkawal.

"Pemeriksaan akan dilakukan jika ada keperluan. Kita pandang serius masalah arak apatah lagi dijual dengan promosi iklan secara terbuka. Kita sentiasa pantau lesen dan penguatkuasaan agar tiada pihak ambil kesempatan,” katanya.

Dr Ismail berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mewartakan pindaan peraturan berkaitan minuman beralkohol bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, dan pindaan itu dikuatkuasakan pada 16 Oktober lalu.

"Pindaan itu terdiri daripada peraturan 361 mengenai standard am bagi minuman beralkohol sedia ada dan mewujudkan peraturan baru 386A berhubung Sebatian Minuman Keras ( CHL),” katanya.

Menurutnya, peraturan ini termasuk melarang penjualan minuman beralkohol kepada mereka berumur bawah 21 tahun berbanding 18 tahun sebelum ini, selain penjual minuman beralkohol diwajibkan pamer notis ‘meminum arak boleh membahayakan kesihatan’ di lokasi jualan dan label produk.

"Syarat lain termasuk jualan minuman beralkohol dipamerkan di rak berasingan, serta larangan jualan kepada individu bawah 21 tahun dipamer di kaunter jualan,” katanya kepada Sinar Harian.