SHAH ALAM - Seorang pekerja kilang dijatuhkan hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam semalam selepas mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan termasuk mendatangkan kecederaan kepada dua anggota polis trafik semasa melarikan diri daripada sekatan jalan Jun lalu.
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman itu terhadap Zulhilmi Mohd Ariffin selepas mengaku bersalah pada sebutan kes hari ini.
Zulhilmi, 22, mengaku menyebabkan kecederaan terhadap Koperal Hasnol Abd Ghani dan Koperal Ahmad Haizaki Salimon dengan memandu kereta Proton Gen 2 untuk melarikan diri daripada sekatan jalan raya oleh pihak polis.
Dia juga mengaku bersalah dengan sengaja menghalang seorang inspektor polis yang bertugas melakukan pemeriksaan ke atasnya dengan melarikan diri daripada sekatan tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Jalan Persiaran Selangor, Seksyen 15 pada jam 10.30 pagi 24 Jun lalu.
Anak kedua daripada lima beradik itu juga mengaku gagal mengemukakan kad pengenalan di Bulatan Andalas, Seksyen 17 dekat sini pada masa dan tarikh yang sama.
Lelaki itu turut mengaku tidak bersalah memasukkan dadah jenis methamphetamine dan THC ke dalam tubuh badannya.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 337 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Aisamuddin Abdul Rahman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kesalahan itu membahayakan nyawa orang lain.
"Tertuduh juga mengaku bersalah terhadap pertuduhan penggunaan dadah yang membawa kepada perbuatan jenayah lain," katanya.
Menurutnya, hal tersebut terbukti apabila tertuduh yang dalam pengaruh dadah telah mengelak daripada sekatan jalan raya sehingga melanggar anggota polis trafik.
"Perbuatan ini membahayakan nyawa orang lain dan mahkamah perlu menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran," katanya.
Zulhilmi bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan telah insaf.
Pada 24 Jun lalu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan dua anggota polis trafik cedera dalam insiden tersebut.
Kedua-dua anggota polis tersebut dihantar ke Hospital Shah Alam untuk dirawat.