Kuala Selangor rintis Sarang Ekonomi Desa

Iklan
Rodziah (duduk, tiga dari kiri) bergambar bersama jawatankuasa Program Sarang Ekonomi Desa di Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor di sini.

KUALA SELANGOR - Kerajaan negeri memilih Kuala Selangor sebagai projek perintis pelaksanaan Program Sarang Ekonomi Desa di negeri ini bagi meningkatkan ekonomi masyarakat desa secara komprehensif bercirikan bimbingan dan pemudahcaraan.

Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, program selama enam bulan bermula Ogos itu bakal memberi manfaat kepada 55 kampung dan penduduk sekitar daerah berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, secara spesifik, Kampung Kuantan dalam Mukim Pasangan terkenal sebagai pusat pelancongan kelip-kelip menjadi lokasi utama program berkenaan.

"Sasaran jumlah permohonan program ini ialah seramai 100 hingga 200 penduduk, namun hanya 50 peserta dipilih menjalani program ini," katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Kuala Selangor di sini hari ini.

Iklan

Rodziah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga berkata, matlamat program itu diadakan bertujuan meremajakan ekonomi desa dan merancakkan serta mempelbagaikan aktiviti perniagaan setempat.

"Potensi pendapatan baharu dan tambahan boleh dijana melalui khidmat promosi pelancongan, restoran dan hidangan laut.

Iklan

"Selain itu, penginapan, cenderamata dan kraftangan pelancongan, rekreasi kampung dan sebagainya yang mampu memberi manfaat kepada peserta program yang dibimbing," katanya.

Beliau memberitahu, pelaksanaan program itu bukan sahaja memacu pembangunan luar bandar tetapi meningkatkan tahap pendapatan penduduk tanpa perlu berhijrah ke bandar.

"Keberkesanan program ini dilihat secara menyeluruh khususnya aspek pulangan pelaburan (ROI) dengan harapan ia boleh diteruskan pada tahun akan datang," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga komited dalam usaha meningkatkan peratus pendapatan isi rumah di negeri ini kepada RM6,000 sebulan menjelang tahun 2025 termasuk kawasan luar bandar dengan adanya program seperti ini.

"Kita harap program ini dapat direalisasikan dan memberi manfaat dalam peningkatan ekonomi desa melalui penjanaan pendapatan," katanya.