Dr Mahathir tiba di Hanoi untuk lawatan rasmi tiga hari

Iklan
Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Hanoi. Foto: Bernama

HANOI - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Hanoi hari ini untuk memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam, lawatan pertama sejak beliau memegang jawatan perdana menteri bagi kali kedua pada Mei tahun lepas.

Pesawat khas yang membawa Dr Mahathir mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai pada 8.20 malam waktu tempatan (Vietnam lewat sejam dari waktu Malaysia).

Iklan
Iklan

Ketibaan beliau disambut Menteri dan Ketua Pejabat Kerajaan Vietnam Mai Tien Dung.

Turut hadir Duta Malaysia di Vietnam, Datuk Shariffah Norhana Syed Mustaffa.

Iklan

Lawatan rasmi tiga hari selepas 21 tahun itu atas jemputan rakan sejawatan Dr Mahathir dari Vietnam, Nguyen Xuan Phuc.

Kali terakhir beliau mengadakan lawatan kerja ke Vietnam adalah pada 1998 untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN.

Iklan

Program Dr Mahathir malam ini dimulakan dengan menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Vietnam.

Esok, perdana menteri akan menghadiri upacara sambutan rasmi di Istana Presiden.

Selepas itu, Dr Mahathir dan Nguyen Xuan Phuc akan mengadakan pertemuan terhad, diikuti mesyuarat delegasi Malaysia-Vietnam di Pejabat Perdana Menteri.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan hubungan dua hala dan menggalakkan inisiatif kerjasama baharu dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan selain isu serantau serta antarabangsa untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dan meningkatkan perdagangan kepada AS$15 bilion (RM63 bilion) tahun depan.

Selepas pertemuan itu, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran surat mengenai penubuhan Kumpulan Kerjasama antara Ahli Parlimen Malaysia dan Vietnam, disusuli dengan sidang media bersama.

Pada hari sama, Dr Mahathir akan mengadakan dialog dengan ahli perniagaan dan pelabur Malaysia membabitkan 27 syarikat Malaysia yang beroperasi di Vietnam manakala pada sebelah malam, beliau akan menghadiri majlis makan malam rasmi yang dihoskan Nguyen Xuan Phuc.

Pada Rabu, perdana menteri akan melawat Hoa Lac Hi-Tech Park, berucap di University FPT mengenai ‘Persediaan Malaysia Dalam Berurusan Dengan IR 4.0’ selain mengunjungi pameran kereta VinFast buatan Vietnam.

Di samping itu, Dr Mahathir akan turut melawat ke Noi Bai Industrial Zone (NBIZ), zon industri terawal di Vietnam. Beliau melakukan upacara pecah tanah zon perindustrian itu pada 1996.

Vietnam adalah rakan ekonomi yang penting kepada Malaysia yang mana nilai dagangan Malaysia-Vietnam berjumlah US$13.3 bilion (RM55.7 bilion) pada tahun lepas.

"Eksport Malaysia ke Vietnam mencecah US$8.48 bilion (RM35.5 billion) manakala import dari Vietnam pula berjumlah US$4.77 bilion (RM20 billion).

Malaysia kini adalah rakan dagang ke-11 terbesar bagi Vietnam manakala Vietnam pula adalah rakan dagang ke-13 terbesar bagi Malaysia di dunia dan keempat terbesar dalam ASEAN selepas Singapura, Thailand dan Indonesia. - Bernama