PATNA - Seorang lelaki di Bihar dibunuh kejam dan tubuhnya turut dikerat kepada tujuh bahagian hanya kerana mangsa 'jatuh cinta' dalam kejadian pembunuhan demi kehormatan terbaharu di India.
Media melaporkan Abhishek Kumar dari perkampungan Bengwahi terpaut hati dengan seorang gadis yang dikenali dalam sebuah kelas latihan.
Iklan
Iklan
"Mereka sering bertemu hingga perkara itu sampai kepada pengetahuan keluarga gadis terbabit. Dia kemudiannya dikahwinkan dengan lelaki lain kira-kira dua bulan yang lalu.
"Tetapi, Kumar dan gadis itu terus bertemu hingga mencetuskan kemarahan keluarganya," jelas laporan tersebut.
Minggu lalu, Kumar sekali lagi ke kampung kekasihnya, namun dia dilaporkan hilang.
Beberapa hari kemudian, penduduk kampung mengadu terhidu bau busuk di kawasan sawah padi yang akhirnya membawa kepada penemuan anggota tubuhnya di beberapa lokasi.
"Dia hanya jatuh cinta. Tetapi, kami tidak pernah bayangkan dia akan dibunuh kejam seperti ini," kata ibu mangsa pada akhir minggu lalu. - Agensi