Beza pandangan perlu diselesaikan secara matang

Iklan
Fahmi Fadzil

SHAH ALAM - Masyarakat termasuk pemimpin politik perlu menyelesaikan perbezaan pandangan secara matang seperti menganjurkan sesi berdialog atau mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, tindakan mengambil pendirian secara keras, penuh retorik dan menggunakan polemik tidak sihat, tidak akan menjernihkan suasana.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan kerajaan memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang giat menggunakan isu bangsa, agama dan raja (3R) sehingga boleh mencetuskan sentimen kebencian melampau antara kaum adalah tepat pada masanya.

"Amaran ataupun peringatan yang diberikan kerajaan amat tepat pada masanya memandangkan situasi mutakhir ini menunjukkan peningkatan dua kali ganda terhadap tahap kecenderungan pihak tertentu yang mahu memainkan isu berkaitan 3R bagi mencetuskan sentimen perkauman berbanding tahun lalu.

Iklan

"Sebagai wakil rakyat, saya melihat ada sesetengah ahli parlimen yang terlalu kerap menggunakan frasa ataupun perkataan yang perlu dipertimbangkan semula kesesuaian atau kewajaran penggunaannya kerana menggunakan aspek 3R,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Fahmi berkata, pemimpin politik perlu sentiasa sedar terhadap peranan dan objektif yang perlu digalas.

Iklan

"Itulah sebabnya dalam demokrasi berparlimen, kita ada ruang untuk membangkang tetapi jangan sampai menggunakan hujah perkauman.

"Harapan saya ialah orang ramai terutama pimpinan politik tidak kira mana-mana parti sekalipun bersedia dengar nasihat dan amaran daripada pihak berkuasa agar berhenti menggunakan isu 3R dalam politik,” katanya.

Menurutnya, berpolitik secara matang sehingga boleh melangkaui ataupun melepasi lensa 3R iaitu dengan memfokuskan kepada nilai, idea dan dasar yang ditetapkan.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar senada dengan Fahmi yang mengatakan semua masalah perlu diselesaikan dengan perbincangan dan bukan secara provokasi.

Menurutnya, ALLAH SWT menjadikan masyarakat berbilang kaum supaya mengenali antara satu sama lain.

"Kita seharusnya mencari sahabat dalam kalangan musuh, bukan mencetuskan permusuhan dalam kalangan sahabat. Barulah kita dapat hidup dalam keadaan damai.

"Kita hanya memikirkan kepentingan politik tanpa melihat kepentingan perhubungan kaum yang lebih harmoni dan murni dalam kehidupan di negara ini,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Dalam masa sama, Mahfuz berkata, pemimpin yang menggunakan 3R sebagai modal berpolitik disifatkan sebagai dangkal kerana cuba menangguk di air keruh.

"Sikap ini menunjukkan kedangkalan ahli politik untuk meraih sokongan sehingga mengorbankan kepentingan masyarakat.

"Bagi saya, kalau ada ahli politik atau sesiapa sahaja yang mendukung mana-mana ideologi politik tidak sewajarnya untuk membawa isu berkaitan 3R.

"Bukan sahaja kepada pembangkang atau kerajaan, yang penting kita tidak boleh hanya membawa politik untuk menjadi hero kepada bangsa, tetapi kita kena bawa politik untuk menjadi wira kepada negara,” jelasnya.