2018 dalam kenangan, 2019 bawa harapan

Iklan
2018 juga mencatatkan sejarah apabila Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada PRK Parlimen Port Dickson sebagai laluan untuk ke Dewan Rakyat.
TAHUN 2018 sudah hampir berakhir. Tahun 2018 akan berlalu meninggalkan kita untuk selama-lamanya, memberi laluan kepada 2019 untuk mencipta cerita baru.

Banyak peristiwa yang telah berlaku dan yang telah kita lalui pada tahun ini. Kita cuba menelusuri sejarah 2018 dengan mengimbasi kembali beberapa peristiwa bersejarah berikut:

i) PRU14 dan pencapaian kerajaan PH

2018 akan terpahat dalam ingatan kita sebagai tahun yang amat bersejarah bagi negara dan kita sebagai rakyat Malaysia. Pada 9 Mei 2018, rakyat telah bangkit membuat kejutan pada PRU14 dengan memilih Tun Dr Mahathir dan PH sebagai kerajaan baru. Rakyat telah menolak rejim kleptokrat Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Umno/ BN yang memerintah enam dekad yang lalu.

Selepas tujuh bulan PH memerintah dan mentadbir negara, pelbagai penilaian telah dibuat tentang keberhasilan dan kegagalan PH sebagai sebuah kerajaan. Ada yang mengalu-alukan kejayaan PH, ada pula yang mengata PH separuh berjaya dan separuh gagal. Ada juga yang mendakwa PH langsung gagal sebagai sebuah kerajaan.

Ramai pemerhati politik memperakui bahawa kerajaan PH komited dalam usaha meringankan bebanan hutang negara, memerangi rasuah, membuat perubahan dan transformasi kepada sistem urus-tadbir negara. Beberapa projek besar telah dibatalkan atau dikaji semula. Apapun penilaian pengulas dan pemerhati politik dalam hal ini, yang lebih pentingnya ialah penilaian yang dibuat oleh rakyat jelata.

Antara kayu ukur yang boleh kita guna pakai sebelum PRU15 ialah bancian dan kaji selidik oleh badan-badan bebas yang kredibel dan berintegriti serta beberapa PRK yang telah diadakan selepas PRU14. Mengikut bancian Merdeka Center dan Ideas, rakyat keseluruhannya berpuas hati dengan prestasi PH. World Bank juga berpuas hati dengan kewajaran serta kemantapan polisi ekonomi dan fiskal kerajaan PH. Bloomberg pula meletak Malaysia di tangga teratas dalam senarai"Asia Emerging Markets”. Empat PRK yang telah diadakan selepas PRU14 juga berpihak kepada PH.

Namun wujud kegelisahan dan kerisauan dalam kalangan rakyat bahawa ekonomi negara masih lembab, kos sara hidup tetap mencengkam kehidupan harian mereka. GST sudah dihapuskan, digantikan dengan SST tetapi harga dan kos barang masih tinggi. Orang Melayu pula merasa tercabar dengan tindak-tanduk beberapa pemimpin dan badan bukan Melayu yang mempertikaikan hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan institusi raja sepertimana yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Polemik dan kontroversi dalam hal-hal ini menjadi ketara dalam kes Kuil Sri Maha Mariamman yang mengakibatkan kematian ahli bomba, Allahyarham Muhammad Adib Kassim. Sementara itu, isu ICERD pula menyebabkan tercetusnya perhimpunan 812 di Dataran Merdeka.

ii) Malaysia Baharu laju dan kencang

Apapun yang ingin kita perkatakan tentang kerajaan PH namun hakikat yang perlu kita akui dan terima ialah Malaysia Baharu telah bergerak dengan begitu pantas sekali semenjak PRU14. Bayangkan dalam tempoh tujuh bulan kita telah menyaksi berapa banyak pendakwaan atas salah laku di bawah pelbagai akta dalam kes kes berprofil tinggi termasuklah ke atas Najib dengan 39 pertuduhan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (46 pertuduhan), Datuk Seri Musa Aman (35 pertuduhan), Datin Seri Rosmah Mansor (22 pertuduhan), Tan Sri Isa Samad (10 pertuduhan), Datuk Seri Dr Irewan Siregar (6 pertuduhan), Tan Sri Muhamad Shafie (4 pertuduhan). Sementara itu ada banyak kes lagi yang melibatkan pembesar-pembesar negara di bawah kerajaan dahulu seperti Datuk Seri Azeez Rahim, pengarah-pengarah lama TH dan lain-lain lagi di peringkat siasatan oleh polis atau SPRM.

Di medan politik pula, percaturan baru terus berlaku dengan hebatnya. Umno makin kucar-kacir dan dianggap sebagai kapal yang sedang karam ekoran ramai wakil rakyat dan pemimpin kanan mereka lompat parti. Daripada 52 jumlah asal Ahli Parlimen, sekarang Umno hanya tinggal 37sahaja dengan 15 sudah melompat keluar parti. Ahmad Zahid yang mengambil alih jawatan Presiden selepas PRU14 juga terpaksa melepaskan tanggungjawab kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan selepas berdepan dengan asakan dan desakan daripada pemimpin-pemimpin lain serta akar umbi untuk melepaskan jawatan. Pas pula kelihatan masih kukuh dan padu sebagai sebuah parti tetapi sudah tidak yakin dan galak lagi dengan laungan tahaluf siyasi dengan Umno. Sudah mula timbul keretakan dan ketegangan dalam hubungan antara kedua-dua parti.

iii) Cabaran untuk PH dan negara seterusnya

Pun begitu PH tetap berdepan dengan berbagai cabaran untuk terus kekal bersama rakyat. Mereka perlu menunaikan janji-janji pilihan raya. Agenda pembaharuan dan transformasi perlu diteruskan. Parti-parti komponen wajar menunjukkan kesatuan dan perpaduan yang jitu sesama mereka. Menteri-menteri yang tidak berpengalaman atau yang muda perlu bertindak dan mencetus idea dengan lebih mantap dan matang lagi untuk mendapat keyakinan serta kepercayaan rakyat. Mereka semua perlu belajar dari pengalaman serta kesilapan agar 2019 akan lebih cemerlang lagi.

Rakyat juga perlu menjadi lebih bijak dan matang hasil dari pengalaman-pengalaman yang lepas. Mereka perlu lebih kritis dalam menerima, mendengar dan membaca berita atau maklumat agar dapat membezakan antara yang benar daripada yang batil, yang saheh daripada fitnah dan sebagainya. Tidak kira dari mana sumber itu datang sama ada daripada pihak lawan atau kawan, dari pemimpin parti lawan atau pemimpin yang kita sanjungi, daripada orang biasa ataupun ustaz dan tok guru.

Selamat datang 2019

Berbekalkan pengalaman-pengalaman silam termasuk pengajaran yang diperoleh daripada tahun 2018, kita menyambut kehadiran tahun 2019 dengan penuh yakin akan menjadi tahun yang lebih baik daripada 2018.

Khususnya bagi orang Islam Melayu, kita berpesan-pesan sesama kita ke arah kebaikan sepertimana yang tersebut dalam Surah al-Asri dan kita kentalkan dalam jiwa raga kita peringatan tentang Islam sebagai rahmatan lil alamin. Kita terjemahkan kalimah tersebut dalam kehidupan harian kita dengan mengguna kuasa, kekuatan dan kelebihan yang ada pada kita dengan penuh rahmah dan ihsan terhadap semua.

Doa untuk pemimpin

Kepada semua pemimpin yang bertanggungjawab kepada rakyat, kita doakan agar mereka lebih peka dengan harapan serta aspirasi rakyat dan menunaikan tanggungjawab serta amanah sebaik mungkin.

Kepada pemimpin Islam, kita garapkan kata-kata di bawah dengan mengambil inspirasi daripada puisi"Doa” nukilan Chairil Anwar sebagai pesanan.

Aku kehilangan ruh, bentuk dan wajah

Aku ini pemimpin terbilang

Islam wadah perjuanganku

Bibirku sering melafaz

Mulutku selalu berkata

Tiada Tuhan yang aku sembah

Selain DIA Yang Satu

Tuhan sekelian alam

Tetapi bila ujian mendatang

Dugaan tiada kepalang

Jawatan dan kuasa

Wang ringgit, emas dan perak

Keindahan dan perhiasan duniawi

Ditawar dan berada di depan mataku

Mataku mula kabur

Istiqomahku ikut luntur

Aqidahku goyah lumpuh

Aku menjadi lemah, layu dan longlai

Terpedaya dengan nafsu

Tertipu dengan godaan iblis

Terpesong dengan bisikan syaitan

Aku sangkakan aku ada harga diri

Rupanya aku ada harga untuk dibeli

Aku menjadi galak dan ghairah

Dengan dunia dan kemewahannya

Aku sesat dalam perjalanan

Aku kehilangan ruh

Wajah dan bentuk

"Tuhanku dalam termanggu

Aku masih menyebut nama-Mu

biar susah sungguh

mengingat Kau penuh seluruh

cahaya-Mu panas suci

tinggal kerdip lilin di kelam sunyi”

Aku mencari tempat

Untuk berteduh

Dari panas keliling

Aku tak bisa berpaling

Ya Rabb Ya Alamin

Terimalah taubatku

Maafkanlah aku

Ampunkanlah segala dosaku

Aku kembali kepadaMu

Menyusun semula perjalanan hidupku

Mengikuti landasan sirotul-mustaqim.

Selamat menyambut tahun 2019!