PADANG TERAP - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya merampas hasil pertanian yang cuba diseludup masuk ke Malaysia melalui Kompleks ICQS Kota Putra Durian Burung, di sini secara tidak sah baru-baru ini.
Pengarah Negeri Kedah, Lily Rosalind berkata, operasi yang dijalankan pada jam 1.30 petang itu berjaya menahan sebuah lori yang membawa masuk konsainan tersebut tanpa mempunyai dokumen yang sah daripada Maqis.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 200 kilogram (kg) bebola ayam, 150 kg sosej babi dan daging babi, 100 kg ikan basah, 100 kg ayam dan itik sejuk beku, 100 kg serai, 120 kg lengkuas, 70 kg cili padi dan 70 kg daun limau purut tanpa dokumen yang sah seperti import permit (IP) yang dikeluarkan oleh jabatan Maqis.
"Selain itu juga pengimport didapati tidak dapat mengemukakan dokumen seperti sijil fitosanitari dari negara asal dan sijil kesihatan," katanya.
Menurutnya, anggaran rampasan adalah sebanyak 1,270 kg dengan nilai sebanyak RM3,500.
"Penahanan hasil keluaran pertanian ini adalah bertujuan untuk mengawal kemasukan penyakit dan perosak seperti perosak buah perosak mango seed weevil atau nama saintifiknya Sternochetus mangiferae sp di dalam biji mangga yang dibawa masuk dari negara luar.
"Sekiranya terlepas ke dalam negara, ianya boleh melumpuhkan industri negara.
"Manakala, penahanan produk hasilan babi ini pula adalah bertujuan untuk mengawal kemasukan produk babi dari negara yang berpenyakit dan penyebaran wabak African swine fever (ASF).
"Antara produk-produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi hidup, daging babi segar, daging babi sejuk beku serta produk babi proses.
"Tujuan larangan pengimportan serta membawa masuk daging babi berkenaan adalah bagi menghalang risiko kemasukan virus ASF ke negara ini yang mana ianya akan merosakkan industri penternakan negara," katanya.
Lily berkata, kesemua konsainan tersebut akan ditahan dan dimusnahkan mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan bagi memastikan risiko kemasukan penyakit dapat dicegah.
"Pengimport akan dikenakan tindakan lanjut atas kesalahan mengimport tanpa dokumen yang sah.
"Kes akan disiasat di bawah kesalahan Sekyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.