'Saya teringin peluk ibu'

Iklan
Norhidayah menunjukkan dua dokumen mengenai ibu kandungnya yang digunakan untuk mencari wanita itu. (Gambar kecil: Salinan kad pengenalan ibunya.)

GUA MUSANG -"Saya teringin merasa kasih sayang seorang ibu kandung seperti orang lain," luah Norhidayah Sahil, 20, yang berharap dapat bertemu dengan ibu kandungnya selepas ditinggalkan ketika lahir sejak 20 tahun lalu.

Norhidayah yang kini menetap di Kulai Perdana, Johor berkata, dia dijaga keluarga angkat sejak lahir lagi selepas ibu meninggalkannya di Balai Polis Daerah Kulai.

Iklan
Iklan

Menurutnya, usaha mencari ibu kandungnya itu sudah dibuat sejak dua tahun lalu ketika dia dan suami mahu melangsungkan perkahwinan.

"Saya ditinggalkan sejak lahir kepada keluarga anggota polis di Kulai. Sejak kecil, keluarga angkat beritahu perkara sebenar tanpa menyembunyikan apa-apa.

Iklan

"Ibu kandung saya, Noraini Pauzi yang beralamat di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap B, Gua Musang hanya meninggalkan salinan kad pengenalannya.

"Dalam usaha mencari ibu, saya dipertemukan dengan tiga adik-beradik berlainan bapa berusia 19, 18 dan 16 tahun. Mereka juga ditinggalkan seperti saya," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Norhidayah berkata, sekiranya dipertemukan, dia tidak akan mempersoalkan tindakan ibunya sebelum ini.

"Saya hanya mahu dia pulang dan berada bersama kami empat beradik. Saya mahu rasa kasih sayang seorang ibu kandung seperti orang lain.

"Saya mahu menatap wajah ibu. Saya mahu peluk ibu. Jangan terus buat kami tertanya-tanya di mana ibu selama ini," katanya.