BOGOR — Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Istana Presiden Bogor untuk Istiadat Sambutan Negara sempena lawatan baginda ke Indonesia.
Keberangkatan tiba Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 10.30 pagi (waktu tempatan) disambut Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), serta isteri Iriana Joko Widodo.
Seri Paduka menerima tabik hormat daripada Pasukan Pengamanan Presiden, dan diiringi lagu kebangsaan Malaysia 'Negaraku' dan lagu kebangsaan Indonesia 'Indonesia Raya'.
Yang di-Pertuan Agong kemudian berkenan memeriksa perbarisan pasukan kawalan kehormat dan diperkenalkan kepada barisan kabinet pemerintah Indonesia.
Baginda bersama Tunku Azizah dalam rangka Lawatan Negara ke Indonesia bermula semalam sehingga Khamis.
Seri Paduka berdua kemudian berkenan menandatangani buku lawatan selepas sesi bergambar bersama Jokowi dan isteri.
Sultan Abdullah dan Jokowi kemudiaannya mengadakan pertemuan di Veranda Talk Istana Bogor dan kemudiannya turut mengadakan perbincangan dua hala bersama delegasi Malaysia dan Indonesia.
Sebaik selesai, Jokowi yang memenangi Pilihan Raya Presiden 2019 untuk memimpin Indonesia bagi penggal kedua, mengiringi Sultan Abdullah yang turut berkenan ke upacara penanaman pokok damar serta dibawa meninjau persekitaran Istana Bogor menaiki buggy yang dipandu Jokowi.
Lawatan Seri Paduka bagi mengukuhkan lagi keakraban kedua-dua negara itu, turut diiringi delegasi Malaysia yang terdiri daripada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku menteri pengiring, pegawai-pegawai kanan Kementerian Luar, Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri. - Bernama