SHAH ALAM - Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam membuat satu laporan polis ke atas seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Zaimi Geot yang mengeluarkan kenyataan menghina beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) melalui akaun laman sosialnya sebelum ini.
Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Shah Alam pada jam 10.30 pagi tadi yang turut dihadiri beberapa ahli dan penyokong Parti Amanah Negara (Amanah) Bahagian Shah Alam.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Shah Alam, Osman Omar berkata, sebagai seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), individu terbabit tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan berkenaan yang dilihat bersifat penghinaan dan hasutan.
"Dalam beberapa kemas kini di laman Facebooknya sebelum ini ada mengeluarkan kenyataan menghina beberapa pimpinan seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Malah Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador turut dihina dalam posting berkenaan sebelum ini. Sebagai guru agama, saya rasa tidak wajar individu terbabit mengeluarkan kenyataan tersebut," katanya ketika sidang media selepas membuat laporan terbabit, hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan, Azli Yusof berkata, pihaknya berharap agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menjalankan siasatan terhadap individu terbabit bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai motif tindakannya itu.
Azli berkata, sebagai seorang pendidik, individu terbabit seharusnya membawa mesej yang baik bagi mendidik masyarakat dan bukannya mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan serta hasutan sedemikian.
"Terlalu banyak kenyataan dan cacian yang dikeluarkan olehnya sejak 27 Julai lalu sehinggakan kami sendiri tidak sanggup untuk membacanya.
"Jadi PDRM perlu siasat individu ini yang menetap di Shah Alam bagi mengetahui motif sebenar kenyataan-kenyataan tersebut," katanya.
Tambah beliau, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati sewajarnya menggunakan platform yang betul dengan mendapatkan penjelasan sebenar berhubung sebarang situasi dan bukannya melakukan tindakan sedemikian melalui laman sosial.
"Apabila dia buat begini, sudah semestinya akan ada reaksi balas di laman sosial, jadi ia akan timbulkan ketegangan di kalangan masyarakat," katanya.