IPOH - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yakin sasaran satu juta ahli baharu menjelang penghujung 2020 berjaya direalisasikan.
Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, setakat ini pihaknya sedang menyiapkan satu aplikasi khas berhubung perkara berkenaan.
Menurutnya, pihaknya akan memulakan kempen berkenaan mulai 1 November depan.
"Sebenarnya setelah buat pemutihan, kita ada 920,000 ahli. Apa yang membimbangkan kita adalah hala tuju sektor pertanian dan penyertaan orang muda kerana berdasarkan statistik penyertaan orang muda tak sampai dua peratus dalam industri padi.
"Kalau orang muda tak minat, siapa nak ganti petani sedia ada nanti? Ini soal food security. Oleh itu, kita dah sediakan aplikasi bagaimana menarik minat orang muda kita. Kita anggarkan kemasukan daripada golongan B40 seramai 100,000 ahli.
"Jadi bila campur orang muda dan golongan lain, saya yakin menjelang Disember 2020 kita akan capai satu juta ahli yang dibantu melalui kempen-kempen yang kita akan lancarkan. Kita ada tempoh 14 bulan lagi," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Mazlan berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penyampaian Zakat Agrobank kepada golongan asnaf dan staf Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ipoh dan Kinta Selatan di Dewan Orang Ramai Kampung Tengku Hussein Manjoi, hari ini.
Sementara itu Mazlan berkata, LPP bercadang menubuhkan unit baharu iaitu Bahagian Padi dan Beras yang bertujuan memberikan tumpuan khusus kepada isu-isu melibatkan padi dan beras.
"Isu-isu melibatkan padi dan beras ini adalah isu besar dan kita perlukan satu bahagian yang hanya memberikan tumpuan kepadanya," katanya.