Kelantan paling ramai penduduk miskin

Iklan
Mohamad Rizam memalu gong sebagai penyempurnaan gimik perasmian kongres tersebut di UMK, hari ini.

KOTA BHARU - Kelantan merupakan negeri yang mempunyai statistik tertinggi penduduk miskin antara negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Itu yang dimaklumkan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin sempena Kongres Sosioekonomi Kelantan; Inklusiviti Dalam Pembangunan Sosioekonomi Negeri Kelantan, hari ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, statistik kemiskinan bagi bulan Jun 2019 menunjukkan miskin tegar di Kelantan adalah seramai 6,210 orang dan miskin pula 31,217 orang.

"Kelantan merupakan negeri ketiga tertinggi statistik kemiskinan selepas Sabah dan Sarawak. Secara umumnya kadar kemiskinan di Kelantan adalah 0.4 peratus sama dengan peringkat nasional.

Iklan

"Saya tekankan data kemiskinan ini bukan semata-mata mahu kata ramai orang Kelantan miskin, tetapi ini adalah bagi meletakkan kita dalam konteks untuk difahami. Bahawasanya inilah latar belakang sosio ekonomi rakyat Kelantan yang kita perlu ambil kira dalam merancang pembangunan negara,” katanya.

Kongres dua hari bermula hari ini di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dekat sini disempurnakan Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz yang juga merupakan Pro-Canselor UMK.

Iklan

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub, Naib Canselor UMK, Prof Ts Dr Noor Azizi Ismail dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudeen Tengku Faisal.

Mohd Radzi berkata, kerajaan tidak mahu mencari salah siapa dalam soal berkenaan, sebaliknya berusaha mencari cara terbaik menerusi kongres berlangsung dua hari itu untuk memastikan rakyat negeri ini menikmati pembangunan secara bersama.

"Tinggalkan yang lepas-lepas, kerajaan Pakatan Harapan komited untuk pastikan wilayah-wilayah ketinggalan dibawa bersama dalam arus pembangunan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Radzi juga turut menyentuh mengenai tiga komponen yang boleh digembleng dan memberi impak besar terhadap ekonomi negeri Kelantan.

"Saya melihat terdapat tiga kelebihan di Kelantan yang boleh membantu (ekonomi) iaitu budaya, warisan dan pelancongan, pertanian dan juga modal insan orang Kelantan itu sendiri.

"Makanan itu sendiri menjadi tarikan besar kepada Kelantan. Warisan kita terlalu banyak tetapi tidak digembleng sepenuhnya,” katanya.

Begitu juga katanya, sebagaimana disebut oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menekankan kepada penggunaan teknologi baharu dalam sektor tersebut itu salah satu perkara perlu dilakukan di negeri ini.

Sementara itu, selaku penganjur kongres, Noor Azizi berkata, resolusi yang dicapai nanti akan diserahkan kepada kerajaan negeri dan secara bekerjasama dengan kerajaan Pusat untuk membantu ekonomi Kelantan.

"Penganjuran kongres ini bukan sahaja memberikan gambaran betapa signifikannya kewujudan UMK sebagai gedung ilmu tetapi juga kepentingannya dalam menyediakan medium kepada pemegang taruh untuk sama-sama berfikir, merancang dan menilai pembangunan pelbagai dimensi di Kelantan.

"Kongres ini juga secara tidak langsung menyediakan platform untuk pakar dari pelbagai latar belakang berkongsi pengalaman serta pengetahuan berkaitan pembangunan sosioekonomi Kelantan,” katanya.