JOHOR BAHRU - Sebanyak 148 lif dan eskalator sekitar bandar raya ini telah disita Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor sejak 2018 kerana didapati tidak diselenggara pemilik premis dengan baik.
Pengarah JKKP Johor, Ir Dasuki Mohd Heak berkata, inisiatif berkenaan juga bagi mengelak berlakunya perkara tidak diingini kerana keadaan fasiliti yang boleh mengancam keselamatan orang ramai.
"Perkara ini perlu diambil berat kerana membabitkan isu keselamatan orang ramai. Jadi berdasarkan rekod, kita dapati terdapat 6,594 lif dan 1,436 eskalator yang ada di negeri Johor.
"Daripada jumlah itu, JKKP Johor telah melakukan pemeriksaan terhadap 2,544 lif dan 568 eskalator setakat Ogos tahun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dasuki berkata, pemeriksaan lif dan eskalator berkenaan adalah melibatkan kawasan tempat kerja, bangunan kerajaan, pusat beli belah dan program perumahan rakyat (PPR).
"Antara penempatan yang diperiksa adalah PPR Melana Indah, PPR Taman Uda, PPR Taman Perling, Rumah Pangsa Kos Rendah Larkin dan Pangsapuri Taman Kempas Permai.
"Hasil pemeriksaan dijalankan daripada semua penempatan ini, kita dapati hanya terdapat 11 unit lif yang mempunyai sijil perakuan kelayakan (COF) yang sah manakala 33 unit tiada COF dan enam tidak beroperasi," katanya.
Justeru, beliau memohon pihak berkenaan khususnya pemilik premis atau bangunan untuk sentiasa peka dan memastikan isu keselamatan dapat diutamakan.
Katanya, JKKP Johor juga sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan para pemilik premis terutama dalam menjalankan pemeriksaan atau pemantauan fasilitet berkenaan dari masa ke masa.