Selangor sedia jadi hos Sukma 2022, Komanwel 2026

Iklan
Amirudin (tengah) merasmikan Sidang Kemuncak Sukan Antarabangsa Selangor (SISS) 2019 di Sunway Resort Hotel & Spa hari ini. -Foto Pejabat MB Selangor

SELANGOR mendahului pembangunan sukan dalam negara dengan menganjurkan acara sukan antarabangsa tahunan secara konsisten.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, antaranya acara berbasikal Tour de Selangor, Selangor Cyber ​​Games dan Larian Menjunjung Kasih yang menghimpunkan pelari profesional dan amatur di bawah Majlis Sukan Negeri Selangor.

Iklan
Iklan

Menurutnya, menyedari akan kepentingan industri sukan, kerajaan negeri kini menumpukan kepada sukan permotoran.

"Selangor merancang membina litar lumba sukan bermotor bertaraf dunia di Sungai Tua melibatkan usahasama antara sektor swasta dan kerajaan mendapat sokongan Persatuan Automotif Malaysia (AAM).

Iklan

"Usaha ini pastinya meletakkan Selangor di dalam peta antarabangsa dalam acara sukan permotoran," katanya pada perasmian Sidang Kemuncak Sukan Antarabangsa Selangor (SISS) 2019 di Sunway Resort Hotel & Spa di sini hari ini.

Amirudin berkata, SISS adalah platform buat kerajaan negeri merangka dan menganjurkan acara sukan antarabangsa.

Iklan

"Adalah menjadi harapan saya bahawa SISS akan menjadi pemangkin dalam mewujudkan sistem ekonomi dan medium kerjasama yang menghimpunkan pemimpin sukan, organisasi tinggi dan peringkat antarabangsa sejajar hasrat Selangor sebagai Hub Sukan Serantau," katanya.

Dalam perkembangan sama katanya, Selangor bersedia menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2022 selepas kali terakhir menjadi hos pada 1998.

"Selepas 21 tahun, saya yakin Selangor mempunyai kemahiran organisasi dan kemudahan sukan terbaik mampu menggalas tugas itu dengan baik.

"Selangor turut memasang impian menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026," katanya.