'Istikharah bawa saya ke Malaysia'

Iklan
Dr Ibrahim. Foto: Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Siapa sangka, bermula dengan solat istikharah telah membawa seorang warga Nigeria melanjutkan pengajian di Malaysia dan seterusnya menetap di negara bertuah ini.

Itu pengalaman dikongsikan pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ibrahim Fahad Sulaiman yang telah tinggal di Malaysia sejak 2007.

Iklan
Iklan

Bercakap dalam Wacana Sinar Harian ke-122 bertajuk 'Malaysia Dari Kaca Mata Mereka' yang berlangsung hari ini, Ibrahim berkata, ketika itu dia hanya berniat untuk melanjutkan pengajian tetapi akhirnya telah jatuh cinta dengan Malaysia.

"Ketika belajar di Madinah, saya perlu buat pilihan negara untuk saya melanjutkan pengajian. Ada rakan-rakan saya datang ke Malaysia, jadi saya banyak tanya mereka mengenai Malaysia.

Iklan

"Selepas itu saya buat istikharah dan minta rakan-rakan saya carikan universiti. Alhamdulillah saya dapat tawaran ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan saya terus ke Malaysia pada 2007," katanya.

Menurut Ibrahim, ketika sampai di Malaysia dia amat kagum dengan toleransi dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum di sini.

Iklan
Wacana Sinar ke-122 membincangkan Malaysia Dari Kaca Mata Merdeka yang berlangsung di Dewan Karangkraf Seksyen 15 Shah Alam. Foto: Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

"Bagi saya, Malaysia yang berbilang kaum ini adalah satu hikmah daripada ALLAH SWT. Sepanjang 12 tahun saya duduk di Malaysia, tiada masalah yang timbul.

"Itu maksudnya ada keharmonian dan toleransi yang kuat di sini. Semua itu saya lihat masih kekal hingga sekarang," katanya.

Katanya, dia juga mengambil inisiatif untuk mempelajari Bahasa Melayu bagi memudahkan kehidupannya di sini.

"Saya terfikir bagaimana nak hidup di sini kalau tak faham Bahasa Melayu. Mujur ada seorang rakan saya yang bantu mengajar Bahasa Melayu.

"Saya belajar sikit-sikit bak kata pepatah Melayu, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Perkataan pertama yang saya belajar ialah 'Siapa nama kamu?'. Walaupun saya tidak berapa fasih, tetapi Insya-ALLAH orang Malaysia boleh faham apa yang saya nak kongsikan," katanya.

Selain Ibrahim, wacana ini juga menampilkan Dekan Pusat Pengajian Siswazah Unisel, Profesor Madya Dr Setyawan Widyarto dan Duta Pelancongan Negeri Terengganu, Mat Dan, manakala, Fariha Onn bertindak sebagai moderator.