Rancangan Indonesia pindah ibu negara cetus kebimbangan

Iklan
Lokasi tepat itu berhampiran bandar Samarinda dan Balikpapan di Kalimantan Timur.

JAKARTA - Keputusan Indonesia mahu memindahkan ibu negara ke Pulau Borneo yang dikongsi bersama Malaysia dan Brunei telah mencetuskan kebimbangan terhadap kumpulan aktivis pencinta alam sekitar.

Dikenali sebagai Kalimantan, pulau terbabit merupakan pusat kepada aktiviti perlombongan utama dan hutan hujan serta salah sebuah kawasan di bumi yang menjadi habitat semula jadi orang utan.

Iklan
Iklan

"Kerajaan perlu memastikan ibu negara baharu itu tidak dibangunkan di kawasan pemuliharaan atau perlindungan dan tidak memberi ancaman kepada spesies terancam,” kata jurucakap aktivis Greenpeace Indonesia, Jasmine Putri.

Wilayah itu juga berdepan masalah jerebu tebal akibat aktiviti pembakaran hutan dan kawasan pertanian yang dilakukan pada setiap tahun.

Iklan

"Ia menunjukkan Kalimantan tidak sesuai menjadi lokasi pilihan ibu negara. Langkah tersebut tidak semestinya membebaskan masalah dihadapi Jakarta seperti banjir, kesesakan lalu lintas dan pembangunan pesat,” kata pakar perancang bandar berpusat di Jakarta, Nirwono Joga.

Semalam, Presiden Joko Widodo atau Jokowi mengumumkan lokasi tepat berhampiran bandar Samarinda dan Balikpapan di Kalimantan Timur yang akan menjadi ibu negara baharu.

Iklan

Lokasi tersebut dikatakan terletak di kawasan kurang terdedah kepada bencana alam di mana tanah milik kerajaan adalah seluas kira-kira 180,000 hektar.

Keputusan pemindahan itu dibuat selepas pakar memberi amaran satu pertiga Jakarta yang mempunyai populasi 10 juta penduduk bakal tenggelam menjelang 2050 selain dibelenggu masalah lain termasuk pencemaran dan risiko gempa bumi serta banjir. - AFP