Transformasi media cetak ke digital

Iklan
Gambar hiasan

ERA hari ini dilihat sebagai satu tempoh yang tidak lagi membolehkan media cetak memonopoli penyampaian dan kepantasan pemindahan maklumat menerusi media digital (Internet) yang awalnya dicipta bagi berfungsi sebagai sumber maklumat.

Kini ia boleh bertukar menjadi senjata yang berkuasa mengubah landskap politik serta sosial sesebuah negara. Media digital bertindak sebagai wadah menggerakkan ketelusan dan keterbukaan serta menjana pelbagai pandangan yang meluaskan spektrum demokrasi.

Iklan
Iklan

Dalam perspektif demokrasi, media digital kini dilihat dapat mendemokrasikan maklumat di mana media cetak bukan sumber maklumat tunggal lagi. Rata-rata rakyat di negara ini sudah beralih platform bacaan daripada bahan cetak ke digital. Lebih-lebih lagi tarikan paparan media sosial yang kian menjadi trend.

Jika media digital mendemokrasikan maklumat, media sosial pula merakyatkan maklumat. Demokrasi media sosial bersama rakyat tidak boleh dipisahkan. Ia saling berhubung rapat. Segala isi dan peristiwa yang berlaku dalam masyarakat menjadi sumber maklumat bagi media ini. Justeru, media sosial mempunyai peranan dan tanggungjawab besar dalam membangun dan membina masyarakat.

Iklan

Melihat kepada peranannya yang cukup besar, maka boleh disimpulkan bahawa media sosial adalah produk budaya yang mempunyai kepentingan beragam seperti politik, budaya, ekonomi, agama, hiburan dan sebagainya. Setiap bentuk media sosial sama ada Twitter, Facebook, Instagram mahupun WhatsApp mempunyai ciri khas masing-masing baik dalam konteks pemberitahuan, isi kandungan, penampilan serta tujuan dan kepentingan yang berbeza.

Melihat nasib akhbar Utusan, ia memberi satu hentakkan kepada industri media secara keseluruhan. Sungguhpun pelbagai pihak menyalahkan UMNO untuk tidak bantu akhbar ini yang dahulunya menjadi lidah rasmi parti politik berkenaan, namun perlu diingat bahawa kejatuhan akhbar Utusan secara globalnya adalah kerana faktor peralihan kepada media digital.

Iklan

Kita perlu menerima hakikat dunia berubah sekaligus memerlukan perubahan dari sudut pengurusan dan kepimpinan. Ia bukan hanya tertumpu kepada syarikat akhbar Utusan semata-mata tetapi kepada semua organisasi.

Utusan serta semua pendokong komunikasi kewartawanan di negara ini perlu menyedari akan perubahan landskap media serta perubahan kehendak khayalak. Tidak boleh lagi untuk terus bernostalgia dengan sejarah akhbar dan organisasi masing-masing.

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) perlu melakukan satu ‘media change’ bagi mengukuhkan dan melestarikan rangkaian media di Malaysia. Satu persetujuan perlu dibuat antara kesemua organisasi media untuk mengenalpasti lapangan terbaik penyampaian berita dan maklumat. Sekiranya perlu menamatkan berita cetak dan beralih kepada digital secara sepenuhnya, maka lakukan. Keseragaman ini perlu untuk jangka masa panjang hayat media di Malaysia.

Kenaikan harga akhbar itu bukanlah satu resolusi jangka masa panjang. Sudah seminggu kemelut itu berlalu. Sokongan rakyat khususnya pembaca dilihat positif dengan melanggan akhbar ini setiap hari. Namun adakah ia akan berlarutan sehingga sebulan lagi? Atau setahun?

Penamatan berita edisi cetak tidak bermaksud matinya bidang kewartawanan di negara ini. Berita masih ada; cuma di lapangannya yang berbeza.

Polemik Utusan ini mungkin satu sentimen buat pembaca khususnya orang Melayu yang menghargai perjuangan akhbar yang berusia 80 tahun ini. Namun dalam konteks kewartawanan inilah fenomena sebenar industri akhbar di seluruh dunia, baik di negara maju mahupun baharu membangun.

Akhbar New York Times mengurangkan saiznya sebanyak 5 peratus pada April 2008. Perubahan tersebut dapat menjimatkan AS$42 juta setahun. Manakala majalah berita mingguan Newsweek ditamatkan versi cetak pada 2012 setelah wujud sejak 1933. In berpunca daripada pembaca yang beralih ke lapangan digital.

USA Today pula melaksanakan pembuangan pekerja terbesar pada 2014 melibatkan kira-kira 70 kakitangan atau 50 peratus di dalam bilik berita. Langkah itu dilakukan bagi membolehkan syarikat menyusun semula model perniagaan daripada media cetak kepada dalam talian.

Akhbar kewangan Financial Times berpengaruh sejak 1888 banyak menghasilkan inovasi dalam menarik pembaca kepada platform digital dengan memberi akses percuma FT.com selama sebulan, sebelum pembaca dikenakan caj.

Versi cetak terakhir akhbar The Independent UK pada 26 Mac 2016. Pemiliknya, Evgeny Lebedev, mengumumkan penamatan versi cetak bersama dengan pembuangan 100 pekerja serta keseluruhan aset dan jenama Independent iaitu Indy untuk edisi Ahad, Evening Standard, versi akhbar 'i’ dan stesen televisyen London Live. Akhbar ‘i’ dijual kepada Johnston Press pada harga £24 juta. Masalah ini berpunca daripada penyusutan edaran dan hasil iklan akibat kehadiran media digital.

Beberapa lagi syarikat akhbar di AS termasuk The McClatchy Company menyaksikan nilai sahamnya merudum. McClatchy merupakan syarikat akhbar ketiga terbesar di AS dan satu-satunya pembida bagi rantaian akhbar Knight-Ridder pada 2005. Tetapi sejak itu, saham McClatchy hilang 98 peratus nilai mendorongnya membuat pembuangan pekerja dan pemotongan gaji. McClatchy berdepan dengan tindakan penyahsenaraian dari Bursa Saham New York tetapi pada September 2009, ia berjaya memulihkan kewangannya. Antara 2008 dan 2009, tiga lagi syarikat akhbar AS telah dinyahsenarai.

Ringkasnya, trend yang dihadapi industri akhbar hari ini ialah secara digital (Internet). Pengamal-pengamal media telahpun menyedari perkara ini sejak bermulanya ledakan maklumat di seluruh dunia dengan akses kepada Internet lebih luas dan gajet elektronik yang semakin canggih serta murah.

Banyak organisasi akhbar sudah melaksanakan program transformasi masing-masing bagi menyesuaikan diri dengan trend industri masa kini. Ia tidak mudah dan memerlukan modal besar. Apa juga keputusan yang diambil ia seharusnya memiliki pelan jangka yang jelas. Sama ada untuk jangka masa pendek atau jangka masa panjang

***Penulis merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM Melaka