JOHOR BAHRU - Kerjasama politik UMNO-Pas harus mempunyai pengertian lain yang lebih besar selain untuk berkuasa demi membentuk kerajaan dan memerintah semula negara.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO mesti menggunakan peluang itu untuk memberi nilai dan terjemahan baharu kepada perjuangannya.
"UMNO harus membangunkan naratif politik baharu dengan pemikiran dan nilai Islami. Ini tidak bermakna ideologi kebangsaan yang selama ini menjadi nadi UMNO telah lapuk dan tidak lagi relevan dan bernilai.
"Tetapi perubahan konteks, modenisasi, globalisasi serta demografi masyarakat menyaksikan bahawa perjuangan kebangsaan tanpa Islam tidak akan membawa UMNO ke mana-mana. Malah, ia tidak akan membawa orang Melayu dan umat Islam ke mana-mana," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled berkata, UMNO dan ideologi kebangsaannya harus bersifat sezaman, dicorak serta diselaraskan dengan keperluan dan tuntutan yang bukan sahaja selari dengan kehidupan hari ini.
"Tetapi dibaluti dengan nilai Islam yang segar, bersumberkan wahyu dan dipersembahkan dalam kerangka demokrasi yang progresif. Pilihan UMNO mungkin apa yang saya namakan ideologi Melayu Islam Demokratik (MID)," katanya.
Beliau merasakan MID jalan ke hadapan untuk UMNO, orang Melayu dan umat Islam kerana ideologi kebangsaan tidak pernah bercanggah dengan Islam.
"Kedua, nilai kebangsaan memerlukan nilai tambah. 70 tahun dulu, ideologi kebangsaan digelorakan untuk mengusir penjajah dan menuntut kemerdekaan.
"Ketiga, meletakkan Islam sebagai tunjang kebangsaan akan menyumbang kepada pembangunan ideologi politik Melayu yang sangat demokratik dan memperjuangkan keadilan sosial," katanya.
Mohamed Khaled berkata, UMNO mesti menggunakan kerjasamanya dengan Pas untuk mengemukakan pemikiran politik yang meyakinkan orang Melayu dan bukan Melayu.
"Dan jalan itu ialah politik MID. Ini jalan masa hadapan yang akan menyeru kebangkitan dengan nilai dan makna sebenar.
"UMNO tidak boleh kekal di takat lama. Setidak-tidaknya, bukan dengan sekadar agenda Melayu dan hidup Melayu," katanya.