KUALA KANGSAR - Seramai 150 pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford mengambil masa selama tiga minggu menyiapkan Jalur Gemilang gergasi sepanjang 240 kaki dan setinggi 21 kaki.
Lebih membanggakan, Jalur Gemilang gergasi yang menelan kos lebih RM2,000 ini merupakan sumbangan warga sekolah terdiri daripada pelajar, guru, kakitangan am serta alumni dan digantung di hadapan bangunan lama SMK Clifford yang dibina sekitar 1940-an.
Bagi Ketua Projek 1 yang juga pelajar tingkatan enam atas, Muhammad Asmuie Mohd Akram, 19, kejayaan yang dilakarkan mereka itu cukup bermakna buat semua warga sekolah berkenaan dalam menyemarakkan semangat patriotisme menyambut kemerdekaan negara.
"Bukan mudah untuk kami siapkan bendera ini kerana banyak halangan dan cabaran yang dilalui kami, antaranya tempoh menjahit kain yang memakan masa selama dua minggu ekoran benang yang digunakan sering terputus.
"Kami juga menghadapi kesukaran untuk memastikan panjang setiap kain warna putih dan merah di Jalur Gemilang ini selaras 18 inci supaya ia kelihatan kemas selain menghasilkan bulan sabit dan bintang menggunakan kain kuning dan bukan dicat," katanya selepas majlis menaikkan Jalur Gemilang tersebut di sini baru-baru ini.
Ketua Projek 2 yang juga pelajar tingkatan enam rendah, Muhammad Afiq Farhan Azhari, 18, pula menyifatkan penghasilan bendera berkenaan bukan sahaja memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan tetapi mewujudkan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar.
"Bukan hanya pelajar tingkatan enam sahaja terlibat malah semua pelajar lain yang sama-sama membantu kami menjahit, mengangkat bendera dan berbagai lagi.
"Bendera ini akan digantung selama sebulan sehingga 17 September dan setiap kali kita melihat Jalur Gemilang gergasi ini berkibar semangat cintakan negara pasti akan tersemat," katanya.
Bagi Guru Penyelaras Projek Bendera Gergasi Jalur Gemilang, Muhammad Ariffuddin Mohamad Muhibbuddin, idea menghasilkan bendera gergasi ini dilontarkan Pengetua SMK Clifford,
Roslan Muhammad yang mahu pelajar tingkatan enam menghasilkan sesuatu yang bermakna untuk mereka kenangkan kelak.
"Apa yang membuat saya terharu adalah bendera ini dihasilkan dengan sumbangan dan titik peluh semua warga SMK Clifford kerana kos untuk membuat bendera ini dilakukan dengan kutipan wang dalam kalangan kami.
"Ada pelajar yang menyumbang RM1 dan bila mereka melihat bendera gergasi berkibar di sekolah ini, mereka pasti akan berasa bangga kerana dengan sumbangan RM1 itu kita mampu menunjukkan rasa cinta akan negara," katanya.