MENERAPKAN unsur kemerdekaan dalam diri anak muda bukan satu perkara mudah memandangkan generasi kini sering dipengaruhi dengan budaya barat terutama bagi mereka yang dibesarkan di luar Malaysia.
Tidak ketinggalan jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang yang berusaha memupuk nilai-nilai ketimuran dalam diri anak-anaknya yang kini menetap di Melbourne, Australia.
Seiring dengan 62 tahun sambutan kemerdekaan yang bakal disambut tidak lama lagi, Azizulhasni turut berkongsi cerita pahit manis serta kesukaran memberi didikan dan memupuk semangat sayangkan Malaysia dalam diri dua puterinya.
Meskipun telah merantau di negara orang hampir 12 tahun atas tuntutan kerjaya namun pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio itu mengakui ia bukan penghalang buat dirinya dan isteri Athiah Ilyana Abd Samat untuk memastikan Amna Mariyam, 7 dan Amna Khadeeja, 4 tidak melupakan asal usul mereka yang berasal dari Malaysia.
"Saya di rumah memang akan sentiasa bercakap dalam Bahasa Malaysia dengan mereka sebab kami duduk di Australia sudah lama, anak-anak semua sekolah di sana. Jadi, kami suami isteri akan cuba untuk terapkan nilai-nilai Malaysia dalam diri mereka agar tidak lupa asal usul walaupun berada di perantauan.
"Saya juga selalu ajar mereka tentang geografi dan sejarah Malaysia, buat aktiviti mewarna bendera dan tampal di dinding rumah. Saya tunjuk iklan atau cerita berkisar tentang kemerdekaan untuk beri mereka lebih kefahaman walaupun mereka masih kecil,” katanya kepada Bernama.
Azizulhasni sebelum ini mengikuti pengajian dalam bidang sains sukan di Victoria University di Melbourne dan beliau atlet bukan warganegara Australia pertama menerima Blue Award daripada universiti itu pada 2015.
Isterinya, Athiah Ilyana pula merupakan lulusan Deakin, Geelong University dalam bidang seni bina, merupakan suri rumah, menemani Azizulhasni yang berpangkalan di Melbourne sejak 2007.
Menceritakan detik paling bermakna buat dirinya selaku atlet kebangsaan, bekas juara dunia keirin itu berbangga apabila mampu menghadiahkan kejayaan meraih pingat emas acara pecut individu bersempena Hari Kebangsaan yang ke-61 di Sukan Asia, Jakarta-Palembang tahun lalu.
Beliau yang dikenali dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ itu mengakui sukan menjadi medium terbaik dalam usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Beliau sendiri gemar bergaul dengan rakan-rakan yang berlainan kaum dan agama, seperti kehidupan yang diamalkan di negara ini sejak sekian lamanya.
"Atlet kita terdiri daripada berbilang kaum dan agama, jadi saya memang suka duduk satu meja dengan mereka semua namun ada sesetengah atlet duduk mengikut kaum atau sukan tertentu, tapi saya tidak. Saya akan pergi ke meja atlet lain untuk mewujudkan suasana sukan yang lebih harmoni,” katanya.
Atlet berasal dari Dungun, Terengganu itu berharap seluruh rakyat Malaysia mampu mengekalkan konsep hidup aman damai dan bersatu padu seperti yang telah diamalkan sejak bertahun lamanya agar keharmonian sejagat dapat dicapai tanpa perlu ada perbalahan kaum.
"Sebenarnya tiada sebab untuk kita berpecah belah. Kita duduk dalam satu negara, pelbagai kaum dan bangsa jadi kita kena hidup saling memahami dan melengkapi antara satu sama lain. Jangan disebabkan ada sesetengah individu yang mencucuh api cakap itu ini (isu perkauman), kita senang sahaja ikut.
"Kita perlu tahu hala tuju hidup dan negara kita kerana Malaysia memang dari dulu hidup tiada masalah. Saya masih ingat datuk saya cerita, dulu satu kampung ada Melayu, Cina dan India semua boleh duduk sekali minum di kedai kopi. Malah, saya sendiri pernah dijaga oleh keluarga Cina sewaktu kecil apabila ibu dan opah saya meniaga di kedai makan dulu,” katanya menutup bicara. - Bernama