MALAYSIA sememangnya bumi yang bertuah. Justeru, pendapat yang menyebut bahawa negara ini merupakan syurga pelancongan, usahlah dipertikaikan lagi.
Katakan apa sahaja. Berkeinginan menyusuri keindahan pantai atau laut, mendaki gunung-ganang, menghirup udara segar di kawasan hutan yang dibaluti flora jarang dilihat, teringin melewati hutan batu di bandar-bandar tertentu atau menghadam lipatan sejarah, semua 'pakej' itu, Malaysia miliki.
Namun, jika anda 'mengecilkan' pengembaraan tetapi pada masa sama mahu merasai kesemua pengalaman yang dinyatakan, negeri Sabah merupakan pilihan paling tepat.
Usul penulis bukan kata-kata kosong. Peluang yang diberikan oleh Tourism Malaysia baru-baru ini untuk meneroka Negeri Di Bawah Bayu telah memberi keyakinan kepada penulis mengesyorkannya kepada pembaca Sihat:Aktif.
Jika pada edisi lalu, telah diceritakan tentang betapa indahnya pulau-pulau di sana, kali ini, penulis berkongsi kembara di beberapa destinasi lain seperti di Kota Kinabalu, Lahad Datu, Semporna dan Tawau.
Menjiwai ketenangan alam semula jadi di Menara Kayangan
Kepada ‘kaki hiking’ dan pencinta alam sekitar, Menara Kayangan yang terletak di Lahad Datu merupakan salah satu lokasi yang dicadangkan.
Istimewanya, lokasi itu boleh diumpamakan seperti berada di tanah tinggi Cameron Highlands, Pahang. Pastinya, cuacanya sejuk dan nyaman. Suasana sekeliling sentiasa diselimuti kabus tebal. Seronok sungguh melihat betapa agungnya ciptaan ILLAHI.
Berdasarkan rekod, Menara Kayangan terletak pada ketinggian 620 meter (m) di atas paras laut dan dibina di atas Gunung Silam dengan ketinggian 884m.
Menurut Pembantu Pegawai Perhutanan Daerah, Geungnong Ahjing, menara atau dipanggil sebagai Tower of Heaven dilindungi sepenuhnya oleh Jabatan Perhutanan Sabah.
"Menara tersebut menghadap ke arah Teluk Darvel, jadi para pelawat berkesempatan melihat pemandangan laut yang terbentang luas," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dari menara tinjau berketinggian 33m yang dibina pada tahun 2010 dan dibuka kepada orang ramai bermula 2012 itu, beberapa pulau terkenal dapat ditelusuri.
Antaranya ialah Pulau Serangga, Pulau Tabun, Pulau Saga, Pulau Sadel dan Pulau Kalung-Kalung (pulau yang dapat dilihat secara jelas).
"Menariknya lagi di sini, terdapat tumbuhan yang berusia ratusan tahun! Hidupan yang jarang ditemui seperti buluh Pairin (daun tumbuh ke bawah bukannya ke atas) dan ketam Endemik (ketam kecil berwarna jingga kemerahan) juga boleh dilihat.
"Bagi mereka yang suka mendaki, inilah tempat yang sesuai. Kami menyediakan laluan pendakian seperti Kubu Jejak Jepun, Kayangan Trail dan Laluan Kalung-Kalungan. Pendaki akan melihat barangan lama yang digunakan semasa pemerintahan Jepun dan menyaksikan kepelbagaian biologi flora,” ujar.
Memahami barangkali rasa lelah mengikuti banyak aktiviti disediakan, pengunjung tidak perlu khuatir akan kesukaran mengisi perut, katanya.
Terdapat sebuah kafe dan tapak perkhemahan disediakan.
Untuk ke sana, para pelancong boleh menggunakan kenderaan.
"Cuma apabila sampai, harus mendaki tangga lebih kurang 10 minit untuk ke tapak Menara Kayangan. Percayalah, biarpun memerlukan sedikit usaha mendaki tujuh aras tingkat, kepuasan pasti terasa tika tiba di puncak.
"Buat mereka yang gayat atau takut tinggi, tidak perlu memaksa diri. Memang terasa seakan bergoyang apabila ditiup angin, namun usah risau kerana menara itu dibina begitu kukuh. Cubalah cabar diri," kata Geungnong sambil tersenyum.
Merasai era Neolitik di Bukit Tengkorak
Di Tawau, rombongan media dibawa melawat Tapak Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak. Pada penulis, amat berbaloi untuk meluangkan waktu di situ terutama bagi mereka yang sukakan sejarah dan aktiviti kecerdasan.
Jadi, apa yang ada di Tapak Warisan Arkelogi Bukit Tengkorak?
Jangan ragu-ragu walaupun nama lokasinya agak seram. Pengunjung pastinya akan dibuai bayangan kehidupan sekitar 3,000 tahun dahulu atau pada era Neolitik di Muzium Arkeologi Bukit Tengkorak.
Penulis memperoleh banyak ilmu ketika berada di tapak prasejarah yang penting di kawasan Asia Tenggara dan Pasifik itu.
Sungguh kagum apabila dapat menyaksikan bukti dan artifak arkeologi seperti tembikar, tengkorak, alat buatan manusia dan banyak lagi tinggalan sejarah yang dijejaki di sana pada suatu masa dahulu.
Berdasarkan catatan sejarah, Bukit Tengkorak merupakan salah sebuah tapak pembuatan tembikar prasejarah yang terbesar di Kepulauan Asia Tenggara.
Selepas menelaah ilmu berguna, kami meneruskan aktiviti mendaki puncak Bukit Tengkorak yang mengambil masa lebih kurang 30 minit.
Pun demikian, bagi sesiapa yang mempunyai stamina yang kuat, masa mendaki menjadi lebih pendek. Laluan daripada binaan tangga lantai kayu barangkali membantu.
Sebelum mendaki, pastikan anda membawa air mineral. Jangan memaksa diri. Bolehlah berhenti seketika di beberapa wakaf perhentian yang disediakan.
Satu lagi puncak sedia menanti pengunjung yang mahu menyaksikan pemandangan dari ketinggian kira-kira 500 kaki di atas paras laut perairan Pulau Sipadan.
Pemandangan yang indah dengan angin sepoi-sepoi bahasa menjentik begitu ketenangan jiwa. Hilang seketika tekanan perasaan yang dipendam. Jika pengunjung kreatif dalam mengambil sudut terbaik swafoto, gunakanlah momen di sana sebaik-baiknya.
Kembara di latitud berbeza di Taman Bukit Tawau
Sabah juga merupakan satu destinasi yang sarat dengan tempat beriadah. Antaranya ialah Taman Bukit Tawau.
Di lokasi berkenaan, bukan sahaja aktiviti pendakian boleh dilakukan malah pengunjung boleh berkelah sambil menghayati keindahan semula jadi bersama keluarga tersayang.
Bercerita lebih lanjut tentang Taman Bukit Tawau, Pemandu Pelancongan merangkap Pengarah Borneo Sandakan Tours Sdn Bhd, Gary Solacito berkata, destinasi tersebut diwartakan menjadi Taman-Taman Sabah pada tahun 1979.
"Taman Bukit Tawau merupakan pusat tadahan air dengan keluasan 28,000 hektar. Tiga puncak gunung tertinggi daerah Tawau iaitu Gunung Magdalena, Gunung Lucia dan Gunung Maria terdapat di situ."Menariknya taman itu juga ditumbuhi pelbagai spesies tumbuhan unik. Orkid liar, periuk kera, pokok raflesia, paku pakis dan pelbagai spesies burung, serangga dan kupu-kupu boleh ditemui.
Taman itu turut menjadi tumpuan kerana terdapatnya antara pokok tropika tertinggi di dunia dari spesis Seraya Kuning Siput yang berketinggian 88.32m," katanya.
Sebenarnya, selain Air Terjun Bukit Gelas terdapat kolam air panas sulfur yang turut menjadi kesukaan ramai pelawat, kongsi Gary.
Setiap lokasi riadah berada di latitud berbeza. Walaupun demikian, pada hemah penulis, tidak sukar untuk ke sesuatu lokasi kerana laluan pendakian itu mendatar sahaja.
Ada laluan dilekuk seperti tangga dan dipasang jaring untuk mengelak jalan licin.
Sesungguhnya, sukar untuk penulis lumpuhkan ingatan terhadap destinasi-destinasi yang dibawa oleh Tourism Malaysia sepanjang pengembaraan di Sabah.
Perjalanan ke sana membuatkan penulis lebih menghargai negara sendiri. Penulis pasti, para pelancong tempat turut merasai perasaan serupa apabila memilih untuk bercuti di Malaysia.
Latok, nasi kuning sajian tradisional wajib dicuba
PERJALANAN ke bumi Sabah tidak sah jika pengunjung tidak mencari dan menikmati makanan unik di sana.
Cuba 'singkirkan' seketika daripada kelaziman, penulis mengesyorkan agar mencuba masakan tradisional Kadazan Dusun yang dihidangkan dalam buluh seperti yang terdapat di restoran D’Place Kinabalu.
Jangan lupa juga mencuba nasi kuning di Tawau Sabah dan Latok (rumpai laut) yang merupakan makanan tradisional suku kaum Bajau Laut di daerah Semporna.
Kepada kaum Hawa, sebelum pulang, singgahlah ke Pasar Tanjung Tawau. Terdapat cenderahati boleh dibeli dan dihadiahkan kepada mereka yang menanti kepulangan anda.
Ikan bilis mata biru boleh didapati pada harga yang murah. Begitu juga dengan keropok amplang, kuih cincin termasuk barangan perhiasan daripada batu permata.
Pengarah Kanan Bahagian Domestik & Acara, Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata, pihaknya sentiasa berusaha memastikan Sabah menjadi salah satu destinasi yang digemari oleh pelancong tempatan mahupun luar negara.
"Saya berharap industri pelancongan di Sabah dapat menyahut cabaran Visit Malaysia 2020 yang menyasarkan 30 juta pelancong asing. Penjanaan pendapatan pelancongan negara dijangka sebanyak RM100 bilion.
"Pihak Tourism Malaysia sentiasa memberi sokongan untuk menggerakkan program-program promosi di peringkat negeri. Inisiatif dibuat bagi memperkukuh industri pelancongan domestik," katanya pada sidang media Tourism Malaysia bersama penggiat industri Sabah di Hotel Marriott, Kota Kinabalu.
Pada majlis itu, Tourism Malaysia turut memperkenalkan pelakon dan pengacara terkenal, Alif Satar sebagai dutanya.
ANEKDOT
1. Menara Kayangan Lahad Datu, Lahat Datu, Sabah
(Lebih kurang dua jam perjalanan dari Lapangan Terbang Lahad Datu dan 10km dari bandar).
Harga tiket: Warganegara - dewasa RM5 & kanak-kanak RM3.
Bukan warganegara - dewasa RM15 & kanak-kanak RM7.
Waktu operasi: Setiap hari jam 8 pagi hingga 4.30 petang.
2. Tapak Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak, Tawau
(Lebih kurang satu jam 40 minit dari Tawau dan 3km dari Pekan Semporna).
Masuk percuma
Waktu operasi: Setiap hari, bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.
3. Taman Bukit Tawau, Tawau
(Terletak 22km dari bandar Tawau iaitu kira-kira 30 minit perjalanan).
Harga tiket:
Warganegara - 18 tahun ke atas RM3 & bawah 18 tahun, RM1.
Bukan warganegara - 18 tahun ke atas RM10 dan bawah 18 tahun RM6.
Waktu operasi: Setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang.