KOTA TINGGI - Sebuah kapal tangki tanpa muatan ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 3.1 batu nautika Timur Tanjung Penyusop, semalam.
Pengarah ZMTS, Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kapal tangki yang berdaftar di Ulaanbaatar, Mongolia itu ditahan bot ronda APMM kira-kira jam 12.10 tengah hari.
Iklan
Iklan
"Penahanan dilakukan setelah pemeriksaan mendapati kapal tangki tersebut gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh dari pengarah laut.
‘’Kapal yang dikendalikan oleh 11 kru termasuk nakhoda yang mana lapan daripadanya warga Myanmar dan selebihnya warga Filipina berumur lingkungan 28 hingga 46 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B(1)(I) iaitu bersauh tanpa kebenaran pengarah laut.
Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.
‘’Maritim Malaysia sentiasa serius menguatkuasakan undang-undang dan mempertingkatkan rondaan bagi memastikan perairan negara sentiasa terjamin serta undang-undang dipatuhi di perairan negara khususnya Perairan Johor Timur," katanya lagi.