Kegagalan sistem brek punca lif jatuh di PPR Kerinchi

Iklan
Lapan cedera selepas lif dinaiki mereka di PPR Kerinchi, Pantai Dalam, Kuala Lumpur jatuh dari tingkat lima bangunan 2 Ogos lalu.

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Wilayah Persekutuan mengesahkan kegagalan sistem brek berfungsi dengan baik merupakan punca insiden lif jatuh di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pantai Dalam di sini pada 2 Ogos lepas.

Menterinya, Khalid Abd Samad berkata, salah satu komponen dalam sistem tersebut mengalami kerosakan dan menyebabkan ia tidak dapat mencengkam lif dengan baik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerosakan itu dikesan Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) selepas melakukan siasatan terhadap lif yang terlibat dalam insiden berkenaan.

"Pada hari itu, brek itu tidak bergungsi oleh kerana plunger (komponen dalam sistem brek lif) tersekat. Bila tersekat maka brek tidak mencengkam. Lif berhenti, brek tak cengkam, itu sebab lif jatuh.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Lapan cedera lif jatuh dari tingkat lima PPR Kerinchi

"DOSH sudah melakukan siasatan forensik, guna kotak hitam dan dapat semua maklumat. Keseluruhan sistem brek berfungsi dengan baik, cuma plunger itu saja tersekat. Ia tidak bergerak kerana satu bahagiannya telah terhakis,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini pagi tadi yang turut dihadiri Ketua Pengarah DOSH, Omar Mat Piah dan Pengarah Bahagian Forensik DOSH, Salina Tukimin.

Tambah beliau, sistem brek kecemasan lif tersebut masih berfungsi namun ketika insiden berlaku, kelajuan jatuhan lif tidak mencapai tahap yang membolehkan sistem lif tersebut diaktifkan.

"Dalam insiden ini, kelajuan lif tersebut tidak melebihi had kelajuan yang boleh mengaktifkan sistem itu. Kelajuan normal bagi lif itu ialah 1.75 meter sesaat. Had kelajuan pula ada dua.

"Satu, 2.18 meter sesaat untuk brek elektrikal dan 2.26 meter sesaat untuk brek mekanikal. Pada hari kejadian, lif itu jatuh pada kelajuan 2.12 meter sesaat.

"Oleh kerana lif jatuh dari tingkat lima, kelajuan tidak sampai pada tahap yang boleh mengaktifkan gear keselamatan sistem lif tersebut,” ujarnya.

Jelas Ahli Parlimen Shah Alam itu, insiden sebegitu amatlah jarang berlaku namun pihaknya akan bertemu dengan pengeluar lif tersebut untuk meneliti inisiatif perlu dibuat selepas ini.

"Siasatan berhubung kes ini sudah selesai tapi kami akan cuba dapatkan maklumat dari pengeluar, dapatkan manual model tersebut.

"DOSH akan gunakan pengalaman ini untuk kaji standard penyelenggaraan kerana kes sebegini memang jarang-jarang berlaku,” katanya.

Lapan individu cedera apabila lif dinaiki mereka mengalami kerosakan dan jatuh dari tingkat lima di PPR Kerinchi, Pantai Dalam pada 2 Ogos lepas.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu menyebabkan empat mangsa termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun patah kaki manakala empat lagi mangsa cedera di pergelangan kaki.