IPOH - Sebuah premis menjual perabot diarah tutup serta merta oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini selepas didapati gagal mematuhi notis menghapuskan bahaya kebakaran yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, tahun lalu.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Nabihah Mohd Noor terhadap Lavino Home Centre Sdn Bhd beralamat di Jalan Tawas Damai, Taman Tawas Idaman yang diwakili penghuni premis, Lee Eng Kuan, 36.
Penutupan premis tiga tingkat itu dikeluarkan mengikut Seksyen 13(2) Akta Perkhidmatan Bomba 1988 dan ia merupakan kes yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Akta berkenaan melarang premis itu digunakan sebagai tempat perniagaan perabot dan sebarang aktiviti dijalankan dalam premis sehingga aspek keselamatan kebakaran dipatuhi.
Mengikut notis yang dikeluarkan 19 April 2018 lalu, premis tiga tingkat itu didapati boleh menyebabkan ancaman nyawa dan harta benda yang berada dipremis itu serta mengganggu tugas bomba menjalankan tugas sekiranya berlaku kebakaran.
Perintah tutup difailkan Pendakwa Raya JBPM Perak, Zainuddin Mat Daud sementara syarikat tidak diwakili peguam.
Zainuddin dalam permohonannya berkata, kebakaran pusat hiburan di Jalan Raja Dr Nazrin Shah pada 20 Februari lalu yang meragut enam nyawa perlu dijadikan iktibar, sehubungan itu perintah tutup perlu diambil terhadap premis yang tidak mematuhi aspek keselamatan kebakaran.
Nabihah kemudiannya memerintahkan premis itu ditutup serta merta dari sebarang aktiviti perniagaan kecuali proses pengubahsuaian bagi memastikan ia mematuhi tahap keselamatan dibenarkan.
Dalam pada itu, Zainuddin ketika ditemui di luar mahkamah berkata, premis itu didapati tidak mempunyai tangga keselamatan, pintu keluar akhir terkunci, tiada pencahayaan dan laluan perjalanan jalan mati sejauh 60 meter berbanding 15 meter yang dibenarkan.
"Diharap kes ini dapat dijadikan pengajaran kepada premis-premis lain supaya memberi kerjasama kepada JBPM agar dapat mengurangkan kemalangan harta dan nyawa yang disebabkan kebakaran," katanya.