KULIM - Misteri bau busuk membawa kepada penemuan mayat seorang remaja perempuan di bawah pokok belakang sebuah kuil di Padang Meiha, Sungai Karangan, Ahad lalu.
Ketua Polis Kulim, Superintendan Mohd Yusof Shaari berkata, mangsa berusia 17 tahun beralamat Taman Kenanga Sungai Karangan dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari sebelum ditemui.
Iklan
Iklan
Menurutnya, seorang penjaga kuil terhidu bau busuk ketika sedang membersihkan kawasan sekitar rumah ibadat berkenaan kira-kira jam 2 petang.
"Penjaga kuil berkenaan kemudian memeriksa bahagian belakang kuil itu sebelum menemui satu mayat perempuan dipercayai berbangsa India," katanya.
Difahamkan bapa si mati juga ada membuat laporan polis tentang kehilangan mangsa kira-kira 9.48 malam 23 Ogos lalu. Mangsa telah keluar dari tempat kerja pada jam 11:30 pagi dan tidak pulang ke rumah selepas itu.
Tambah Mohd Yusof, tiada unsur jenayah dikesan atas badan si mati dan juga lokasi kejadian.
"Kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.