Tiada lagi urusan secara manual di KLIA

Iklan
Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjalan lancar di waktu puncak ketika tinjauan. Kegagalan perkakasan rangkaian sejak Rabu lalu semakin baik sejak Sabtu selepas Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melakukan penggantian perkakasan rangkaiannya. - Foto Bernama

SEPANG - Tiada lagi urusan dijalankan secara manual di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila sistem rangkaiannya semakin stabil sejak lapangan terbang utama negara itu dilanda gangguan sistem, Rabu lepas.

Ketika melakukan tinjauan pada 11 pagi tadi, Bernama dimaklumkan segala urusan termasuk daftar masuk penumpang dan pemeriksaan Imigresen telah dijalankan seperti biasa.

Iklan
Iklan

Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS) utama turut berfungsi sepenuhnya dan sentiasa dikemas kini.

Namun sukarelawan Malaysia Airports tetap kelihatan di balai pelepasan dan sentiasa bersedia untuk melayan penumpang mengenai maklumat terkini penerbangan.

Iklan

Bernama turut dimaklumkan urusan penerbangan turut lancar pada waktu puncak antara pukul 8 hingga 10 pagi hari ini walaupun suasana di balai pelepasan kelihatan agak sibuk.

Keadaan kembali lengang selepas pukul 10.30 pagi.

Iklan

Seorang penumpang, Norhana Sulaiman, berkata beliau sengaja datang empat jam lebih awal sebelum penerbangannya ke Honolulu, Hawaii pada pukul 2.45 petang bagi mengelak sebarang kesulitan.

Norhana, 55, yang tinggal di Honolulu sejak 1995 bersama keluarganya berkata, beliau tiba untuk bercuti sambil melawat keluarganya di Shah Alam pada Jumaat lepas ketika KLIA masih mengalami gangguan sistem.

"Masa itu di ketibaan tiada masalah tetapi saya tengok keadaan bahagian pelepasan agak sibuk beratur panjang. Jadi, saya fikir lebih baik saya datang awal, tetapi saya nampak hari ini keadaan sudah baik," katanya.

Seorang warga Iran, Mohammed Reza Hussein yang ingin bercuti di Langkawi, Kedah bersama keluarganya berkata mereka juga tidak mengalami sebarang masalah semasa proses daftar masuk bagasi.

"Saya ada dengar mengenai gangguan sistem, tetapi buat masa ini semuanya berjalan lancar,” katanya.

Walaupun situasi kembali pulih, pengumuman mengenai lapangan terbang mengalami masalah gangguan sistem dan peringatan kepada penumpang supaya terus melakukan pemeriksaan Imigresen masih kedengaran.

KLIA mengalami gangguan sistem sejak Rabu lepas susulan kegagalan sistem rangkaiannya. Gangguan sistem telah menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi. - Bernama