KUALA LUMPUR - Sejumlah AS$700 juta daripada AS$1 bilion wang pembiayaan syarikat usahasama yang dimeterai melalui perjanjian Murabaha antara syarikat 1MDB dengan PetroSaudi International LTD disalurkan ke akaun syarikat Good Star milik Jho Low.
Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang dilantik, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, daripada jumlah AS$700 juta tersebut telah diagihkan kepada beberapa individu termasuk Putera Faisal yang merupakan sekutu rapat tertuduh, Jho Low dan seorang Putera Turki.
"Putera Turki, tertuduh dan Jho Low begitu rapat sehingga mereka bercuti bersama atas sebuah kapal layar di Selatan Perancis," kata Sri Ram ketika membacakan kenyataan saksi.
Sri Ram mendakwa Putera Faisal menerima AS$12.5 juta daripada Good Star pada 18 Februari 2011 dan turut menerima sejumlah wang tambahan sebanyak AS$12 juta pada 10 Jun 2011 hasil penipuan Murabaha.
"Daripada jumlah ini, beliau menyalurkan AS$20 juta kepada akaun peribadi tertuduh melalui dua transaksi masing-masing berjumlah AS$10 juta.
Transaksi pertama diterima oleh tertuduh pada 24 Februari 2011, iaitu enam hari selepas Putera Faisal menerima wang tersebut," katanya.
Tambah Sri Ram lagi tertuduh menerima wang melalui transaksi kedua pada 14 Jun 2011, iaitu, empat hari selepas Putera Faisal menerima wang tersebut.
"Jumlah AS$20 juta adalah bersamaan dengan RM60,629,839.43. yang merupakan perkara pokok pertuduhan pertama.
Fasa pertama ini berakhir pada 2012 selepas 1MDB tidak lagi memiliki saham bernilai dan penipuan itu berjaya ditamatkan dan Good Star digulung pada 2014 sementara Petro Saudi International (Caymen) digulung pada 8 April 2015," katanya.
Sri Ram mendakwa, pembayaran Good Star dibuat dengan tergesa-gesa dan tanpa kelulusan dari lembaga pengarah 1MDB dan bercanggah dengan hala tuju syarikat.
Tegas Sri Ram, pihak pendakwaan melalui dokumen akan membuktikan bahawa pinjaman itu adalah palsu ketika pembayaran dijustifikasikan kepada Good Star.