Skandal 1MDB: Dua urus niaga hasil habuan RM90.8 juta

Iklan
Najib

KUALA LUMPUR- Fasa kedua episod skandal 1MDB adalah berkaitan tindakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui imej cerminnya (Jho Low) memasuki dua urus niaga sehingga memperoleh sejumlah RM90,899,927.28 sebagai habuan.

Pendakwa Raya kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, amaun tersebut merupakan subjek bagi pertuduhan kedua.

Iklan
Iklan

Menurut Sri Ram, Kedua-dua urus niaga ini melibatkan pemerolehan dua pengeluar tenaga bebas iaitu Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd dan Mastika Lagenda Sdn Bhd.

"Mastika memiliki 75 peratus saham di Genting Sanyen Sdn Bhd dan untuk membuat pembelian, 1MDB bertindak menerusi anak syarikatnya 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd dan 1MDB Energy (Langat) Ltd (semua syarikat Labuan) serta melalui syarikat berdaftar di Malaysia, iaitu 1MDB Energy Sdn Bhd dan 1MDB Energy (Langat).

Iklan

"Syarikat-syarikat ini digunakan untuk meningkatkan pembiayaan untuk kedua-dua pengambil alihan," jelas Sri Ram.

Menjelaskan lanjut, Sri Ram berkata, bagi pemerolehan pertama, pembiayaan sambungan tempatan sebanyak RM6.17 bilion telah dibuat untuk mengambil alih Tanjong Energy.

Iklan

Dakwa Sri Ram, jumlah tambahan AS$1.75 bilion telah dibuat melalui pengeluaran nota pinjaman berstruktur selama 10 tahun di mana Goldman Sachs dilantik sebagai pengatur utama untuk mengeluarkan nota-nota ini.

"Daripada sejumlah AS$1.75 bilion sebanyak, AS$786 juta disalurkan kepada Tanjong Energy manakala sejumlah AS$907 juta dibayar ke dalam akaun 1MDB Energy Ltd dengan Falcon Bank di Hong Kong.

"Kira-kira AS$ 577 juta disalurkan kepada Aabar Investments PJS Ltd (BVI) yang dikatakan sebagai deposit sekuriti untuk syarikat induk Aabar IPIC yang mengeluarkan jaminan, yang menjamin nota berkenaan," katanya.

Sebagai tambahan kepada deposit sekuriti, Sri Ram menambah, Aabar juga diberi pilihan untuk mengambil 49 peratus saham milik 1MDB Energy Ltd di 1MDB Energy Sdn Bhd.

"Pada 22 Mei 2012, AS$295 juta telah dibayar oleh Aabar kepada sebuah syarikat yang dipanggil Blackstone Asia.

"Blackstone adalah sebuah syarikat yang dikawal oleh Jho Low melalui rakannya Tan Kim Loong yang juga dikenali sebagai Eric Tan yang telah melarikan diri," katanya.

Di samping itu, jelas Sri Ram lagi, pada 25 Julai 2012 sejumlah AS$133 juta telah dipindahkan oleh Aabar ke Blackstone.

"Wang ini kekal dengan Blackstone sehingga Oktober 2012. Goldman Sachs dibayar AS$192.5 juta sebagai bayaran pengatur untuk pengeluaran bon ini.

"Bagi pengambil alihan Mastika, harga pembelian didakwa berjumlah RM2.75 bilion yang diperoleh dari dua sumber iaitu, nota pinjaman berstruktur selama 10 tahun berjumlah AS$1.75 bilion di mana 1MDB membayar Goldman Sachs sebanyak AS$110 juta sebagai bayaran pengatur," hurainya.

Oleh itu, jelas Sri Ram, 1MDB mendapat habuan sebanyak AS$1.64 bilion dan dibayar kepada akaun 1MDB Energy (Langat) Ltd dengan Falcon Bank, Hong Kong.

Tambahnya, pinjaman kedua adalah melalui pinjaman tempatan sebanyak RM700 juta dan diperoleh daripada kedua-dua sumber berjumlah RM6.16 bilion.

"Oleh itu, terdapat lebihan sebanyak RM3 bilion. Lebihan ini hampir dihapuskan oleh pembayaran pada 23 Oktober 2012 kepada Aabar Investment PJS (BVI) sejumlah AS$790 juta dalam angka pusingan sebagai deposit sekuriti untuk syarikat induk Aabar IPIC kerana didakwa menjamin pembayaran balik nota tersebut," ujarnya.

Sebagai sekuriti tambahan, Sri Ram berkata, Aabar diberi pilihan untuk mengambil 49 peratus saham milik 1MDB Energy (Langat) Ltd dalam 1MDB Energy (Langat) Sdn Bhd.

"Bagi pengambil alihan Mastika pula, Genting Power dibayar AS$ 710 juta. Pinjaman ini menerusi pembelian nota sekuriti untuk pembelian Mastika ke akaun 1MDB Energy (Langat) Ltd pada 19 Oktober 2012," katanya.