GABENOR Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, perbincangan pihaknya dengan penyedia indeks bon global, FTSE Russell, mengenai kemungkinan bon Malaysia dikekalkan dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI), sangat menggalakkan.
Ketika ini, BNM terus berusaha untuk memperluas dan memperkukuh pasaran tempatan, termasuk memberikan fleksibiliti yang lebih tinggi ke atas rogram lindung nilai dinamik.
Ini telah meningkatkan lagi kecekapan pasaran dan kecairan dalam landskap pasaran kewangan semasa.
"Kami telah meningkatkan penglibatan dengan pelabur. Kami mengadakan perbincangan dengan FTSE Russell ketika mereka berada di sini. Mereka sangat menghargai usaha untuk memperkukuh pasaran tempatan," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.
"FTSE Russell telah mengadakan siri perbincangan dengan para pelabur, dan para pelabur memberitahu bahawa mereka melihat akses ke pasaran tempatan kini lebih mudah menerusi pelbagai langkah yang diperkenalkan," katanya.
Hasil daripada langkah yang dilaksanakan, termasuk membenarkan pelabur menjalankan aktiviti lindung nilai, perolehan pasaran tempatan hari ini meningkat dengan ketara.
Purata jumlah dagangan harian tukaran asing dalam negara meningkat kepada antara AS$12 bilion (AS$1= RM4.20) dan AS$14 bilion setakat ini tahun ini berbanding hanya AS$8 bilion pada 2016.
FTSE Russell menawarkan pelbagai indeks yang komprehensif, yang dibangunkan untuk mengukur prestasi pasaran pendapatan tetap di seluruh dunia, termasuk WGBI.
Pada April 2019, FTSE Russell dilapor meletakkan Malaysia di bawah senarai pemantauannya selama enam bulan dengan satu lagi pusingan semakan semula yang dijadualkan pada September.
Ini berikutan kajian pertama klasifikasi pendapatan tetap negara.
"Berada dalam senarai ini tidak bermakna kita akan dikeluarkan. Ini bermakna mereka akan tingkatkan penglibatan dengan pihak berkuasa. Sebelum ini, perglibatan hanya dilakukan pada asas tahunan namun kini ia akan menjadi lebih kerap," kata Nor Shamsiah.
Mengenai kelestarian fiskal, Gabenor itu berkata:"Kerajaan Malaysia sangat komited terhadap penyatuan fiskal kerana defisit fiskal dijangka berkurangan daripada 3.7 peratus pada 2018 kepada 3.4 peratus pada 2019 dan untuk mengukuh sehingga 2020.
"Ini adalah komitmen untuk kemapanan fiskal. Pengurangan defisit fiskal akan mengurangkan keperluan untuk meminjam."
Menurut data BNM, jumlah hutang kerajaan persekutuan pada akhir Jun 2019 sebanyak RM799.1 bilion, di mana hutang dalam negeri berjumlah RM609.1 bilion dan hutang luar negeri pada RM190 bilion.
Ekonomi negara kekal berdaya tahan meskipun terdapat tekanan luar dengan pertumbuhan 4.9 peratus yang dicatatkan pada suku kedua tahun ini daripada 4.5 peratus pada suku pertama.
Bagaimanapun, ditanya sama ada negara mampu menawarkan pakej rangsangan jika sektor luar menjadi lebih teruk namun tetap komited terhadap penyatukan fiskal, Nor Shamsiah berkata:"Walaupun dalam laluan penyatuan fiskal, dasar fiskal masih mempunyai peranan untuk mengutamakan projek dan bidang yang boleh mempunyai kesan pengganda yang tinggi terhadap ekonomi."
Selain perbelanjaan, peningkatan kecekapan juga akan membantu menjana pertumbuhan dan mengurangkan kos, katanya. - Bernama