SHAH ALAM - Pengendali teksi motosikal atau Gojek perlu menetapkan garis panduan kepada penunggang sekiranya perkhidmatan itu dibenarkan beroperasi di negara ini.
Presiden ROTS Motor Club Malaysia, Mohd Noor Maula berkata, ia penting bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin.
"Kenderaan Gojek perlu ada piawaian khusus agar keselamatan menjadi perkara utama.
"Kita faham, kebimbangan ramai mengenai kadar kemalangan jalan raya yang melibatkan penunggang motosikal. Tetapi, kemalangan yang melibatkan motosikal bukan berlaku di dalam bandar, sebaliknya lebuh raya
dan jalan-jalan besar, bukannya di kawasan yang sesak seperti Kuala Lumpur.
"Jadi, saya sarankan, pengendali Gojek atau perkhidmatan ini dapat menetapkan had iaitu antara 60 hingga 80 km/sejam,” katanya ketika program Sinar Live bertajuk Gojek Malaysia Ok ke Tak? hari ini.
Jelasnya, selain itu juga motosikal yang digunakan mestilah berkapasiti rendah iaitu 100cc ke bawah serta tidak melebihi had laju yang ditetapkan.
"Saya juga berharap bukan hanya had kelajuan, tetapi juga etika pemakaian penunggang perlu menjadi perkara penting agar tiada lagi mengaitkan penunggang motosikal (berkuasa rendah) dengan selekeh atau sebagainya.
"Pada masa sama, saya bersetuju dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di mana Gojek dapat membantu anak muda menambahkan pendapatan.
"Kebanyakan anak muda tidak mempunyai pendapatan yang tinggi dan hanya memiliki motosikal.
"Jadi dengan adanya perkhidmatan Gojek ini, sedikit sebanyak mampu menambah pendapatan. Jika kita tengok di Malaysia perkhidmatan seperti penghantaran makanan seperti Grabfood, Foodpanda dan lain-lain lagi lebih besar persaingan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai pengangkutan awam sedia ada seperti LRT dan MRT yang bertumpu di kawasan bandaraya, Mohd Noor Maula berkata, Gojek hanya memberikan pilihan bukan sebagai saingan.
"Jika ada yang rasa Gojek tidak selamat, pilihlah pengangkutan awam lain.
"Pengenalan Gojek di Malaysia pada masa ini tepat pada masanya kerana dapat menjimatkan waktu pengguna yang berdepan dengan masalah kesesakan," katanya.
Jelasnya, isu Gojek ini perlukan penelitian terperinci dan perlu dilaksanakan demi membuka peluang kepada anak muda menambah pendapatan.