Hijrah dalam bingkai keikhlasan

Iklan
MAKNA hijrah lebih luas dalam konteks kehidupan kita hari ini, bukan sekadar berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. -Gambar hiasan

DARI segi penampilan, terserlah pesonanya sebagai seorang wanita yang anggun berhijab. Butir kata-katanya penuh lembut seolah-olah menggambarkan tiada sifat yang tercela ada padanya.

Itulah Darwisya Roslan (bukan nama sebenar) yang berusia lewat 20-an. Beliau merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik. Oleh sebab itu, sikap tanggungjawabnya memang menonjol.

Iklan
Iklan

Darwisya pandai mengambil hati orang tuanya. Beliau meneladani segala kehendak dan keperluan mereka serta tidak pernah langsung meninggikan suara meskipun kadangkala tidak bersetuju dengan pendapat ibu bapanya.

Dengan adik-beradiknya juga begitu. Beliau sangat menyantuni mereka apatah lagi dengan si bongsu yang masih belajar di institusi pengajian tinggi. Segala keperluannya dijaga dengan baik.

Iklan

Pun demikian, dari segi pergaulannya bersama rakan-rakan, Darwisya mempunyai masalah. Ada satu sikapnya yang tidak digemari rakan-rakannya. Darwisya suka bercakap belakang tentang seseorang dan cepat 'menghakimi' seseorang berdasarkan apa yang dilihatnya.

Pernah satu ketika, seorang kenalannya dalam kesedihan. Darwisya menjaja cerita kepada kawan-kawan lain kononnya rakannya itu sedih kerana bergaduh dengan teman lelakinya. Hakikatnya, wanita itu sedang buntu memikir ibunya sedang bertarung nyawa.

Iklan

Satu lagi sikap negatif Darwisya ialah beliau gemar bersangka buruk terhadap orang lain dan adakalanya terselit dalam hatinya sifat cemburu. Apabila perilaku itu merajai jiwa, pincanglah segala amal baik yang dilakukan.

Perwatakan Darwisya seolah-olah tidak mencerminkan penampilannya yang sebenar. Di luar nampak seolah-olah tiada cacatnya, namun di dalam jiwanya, beliau sebenarnya 'sakit'.

Benar, manusia punya kelemahan walaupun merekalah makhluk yang diciptakan ALLAH SWT dengan sebaik-baik ciptaan. Namun, jika sudah namanya insan, pasti ada kelemahan. Perkataan insan sendiri sebenarnya berasal daripada akar kata perkataan Arab nisyan iaitu kelupaan. Lupa itukan satu kelemahan juga, bukan?

Atas faktor itu, seseorang perlu melakukan penghijrahan bagi mentransformasi sikap buruk kepada yang baik. Hijrah perlu dilakukan dari jiwa yang terdalam, bukan sekadar menyebutnya. Apakah pengertian hijrah dalam konteks kehidupan kita pada hari ini? Adakah hanya mereka yang berdosa sahaja perlu berhijrah?

Lipatan sejarah

DR ZULKIFLI

Sebelum berbicara lanjut tentang hijrah, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengajak kita kembali mengingat peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW ke Kota Madinah.

Ujar agamawan itu, ia merupakan peristiwa penting untuk disoroti kerana agama Islam dapat disebarkan ke serata dunia bertitik tolak daripada peristiwa berkenaan sebagaimana firman ALLAH SWT dalam Surah al-Taubah, ayat 40.

Dalam ayat itu, jelas beliau, Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar al-Siddiq RA menempuh pelbagai ujian ketika ingin berhijrah ke Yathrib (Madinah).

"Baginda terpaksa bersembunyi di dalam sebuah gua bagi mengelak dijejaki kaum Musyrikin ketika itu. Mereka merancang untuk membunuh baginda SAW.

"Atas sebab itu, ALLAH SWT memerintahkan Nabi Muhammad SAW agar keluar berhijrah dan meninggalkan tanah airnya yang tercinta," katanya dipetik dalam artikel Tahqiq Al-Masail Siri ke-6: Pelbagai Isu Berkaitan Hijrah dan Inilah Jawapannya, yang disiarkan menerusi portal rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada tahun lalu.

Jelas Dr Zulkifli, peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW ke Kota Madinah telah membuka satu lipatan sejarah yang baharu buat dunia Islam.

"Ini kerana bermula daripada hijrah itu, agama Islam mula berkembang hingga Islam dapat menakluk dunia," jelasnya.

Bagi menjelaskan pengertian hijrah, Sinar Islam mewawancara pendakwah Ustaz Fauzi Mustafa.

USTAZ FAUZI

Jelas Ustaz Fauzi, hijrah mempunyai dua pengertian. Pertama, hijrah bermaksud perpindahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Kota Makkah ke Kota Madinah.

Namun, ujar beliau, ia kini tiada lagi kecuali bagi mereka yang hidup di negara yang sukar untuk mengamalkan ajaran Islam. Maka, mereka boleh berhijrah ke tempat lain.

"Dalam konteks di Malaysia, negara kita aman dan boleh beramal dengan Islam. Jadi hijrah kita di sini ialah hijrah ke arah yang lebih baik," jelasnya.

Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang sebenar-benar hijrah ialah orang yang berhijrah meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh ALLAH (daripada melakukannya)." (Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan al-Nasaie)

Ustaz Fauzi turut menegur sikap segelintir masyarakat yang cantik dari segi penampilan, tetapi tidak pada dalamannya iaitu hati.

"Penampilan sahaja tidak cukup. Sekadar pakai tudung atau menutup aurat, tetapi pecah amanah dan lain-lain. Ya, hijrah penampilan itu sudah bagus, tetapi alangkah cantik, indah dan bertambah menarik lagi sekiranya seseorang itu berhijrah dari segi dalamannya. Kita perlu ingat bahawa perbuatan jahat sebenarnya bermula daripada dalaman," katanya.

Ustaz Fauzi terus memetik kata-kata mutiara Imam al-Ghazali: "Hati itu ibarat raja, manakala anggota-anggota zahir (badan yang lain) ibarat rakyat".

Justeru, tokoh agama itu menitipkan pesan agar lakukan hijrah dalaman dengan memperbaiki hati dan pada masa sama turut mengubah penampilan diri.

"Jika kita hanya berhijrah dari segi penampilan, itu hanyalah secara zahirnya sahaja, sedangkan hati, rohani dan sifat-sifat mazmumah yang ditampilkan itu menjadikan kita tidak seimbang. Kita tetap akan mengulang perbuatan jahat.

"Sebaiknya, mulakan hijrah dalaman dahulu. Contohnya, mulai hari ini, saya berniat tidak akan berbohong lagi dan akan menepati janji. Itu lebih baik walaupun kita tidak berjubah atau berserban.

"Apabila yang dalaman itu sudah berhijrah, insya-ALLAH luarannya juga akan mengikut sama. Ia ibarat seorang yang pembersih. Di rumah dia mengutamakan kebersihan dan tandasnya bersih. Apabila dia berada di luar, perkara yang sama akan dilakukannya," ujar beliau.

Beliau turut berkongsi tip 'hijrah hati' iaitu dengan mencari guru-guru agama, kuliah agama atau berkawan dengan orang-orang soleh.

"Jika membaca al-Quran, fahamilah maknanya supaya mudah untuk kita bertadabbur dengannya. Jika hanya baca sahaja kalam ALLAH tanpa memahami apa yang dibacanya, percayalah sukar untuk kita berubah. Namun, kita tetap akan memperoleh pahala membaca al-Quran.

"Bagaimanapun, jika kita membaca al-Quran dan faham kandungannya, dua pahala akan diperoleh iaitu pahala membacanya dan apabila kita berubah pun kita dapat pahala. Itulah cara-cara hijrah yang sebenarnya," jelasnya.

BACALAH al-Quran dan fahami kandungannya supaya dapat kita beramal dengannya dalam kehidupan seharian.

Bukan untuk pendosa

Benarkah hijrah hanya untuk orang yang banyak dosa? Jawab Ustaz Fauzi, semua orang boleh melakukan hijrah iaitu bermuhasabah diri dan memperbetulkan mana-mana sikap yang tidak baik dalam diri masing-masing.

"Hijrah bukan untuk orang yang berdosa atau untuk orang tidak baik atau banduan dalam penjara sahaja, tetapi sebenarnya untuk kita semua.

"Sebaiknya, semak semula dalam diri kita mana yang tidak betul, kita perbetulkan. Mana yang buruk dalam diri, kita perbaiki. Itulah hijrah," ujarnya.

Sabda Rasulullah SAW: "Setiap anak Adam pasti buat salah dan sebaik-baik orang yang bersalah itu ialah orang yang cepat-cepat bertaubat (kepada ALLAH)." (Riwayat al-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad)

Dalam hadis berkenaan, ujar tokoh agama itu, setiap anak Adam pasti akan berbuat dosa. Ini bermakna, setiap orang pasti akan berbuat salah dan sudah pasti ada keburukan pada dirinya.

"Siapa yang berkata bahawa dia tidak berbuat dosa, sebenarnya dia telah berdosa. Orang yang tidak berbuat dosa selalunya akan menyesali dirinya. Ia sepertimana Nabi Muhammad SAW. Walaupun baginda SAW tidak berbuat dosa, namun baginda akan beristighfar paling kurang sebanyak 70 kali sehari dan ada riwayat mengatakan Rasulullah SAW beristighfar lebih 100 kali sehari," jelasnya.

Apapun, ujar Ustaz Fauzi, sebagai umat Islam, kita perlu melakukan perubahan yang lebih baik. Jika seseorang itu tidak baik, dia perlu mengubah dirinya kepada yang baik, manakala mereka yang baik pula perlu menjadi lebih baik.

"Barangkali ada dalam kalangan mereka yang sudah baik tetapi datang pula sikap buruk sangka terhadap orang lain. Maka, gantikan sikap itu dengan berbaik sangka. Bagi yang kedekut, gantikan sikap itu dengan dermawan dan lain-lain," ujarnya.