Lagi kes murid Pasir Gudang loya, pening

Iklan
Keadaan murid di SK Taman Pasir Putih mendapatkan rawatan di klinik pagi tadi. - Foto Rafee

PASIR GUDANG - Seramai 33 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih mendapat rawatan di klinik selepas menunjukkan simptom loya dan pening pagi tadi.

Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam Sekitar, Mohd Rafee Abdullah berkata, sekitar jam 9.45 pagi, beberapa orang murid dikesan mengalami simptom pencemaran udara seperti sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Saya dapat maklumat pukul 8.30 pagi tadi dan terus datang ke sekolah untuk buat pemantauan. Dalam pukul 9.45 pagi dapat tahu ada murid dah muntah dan pening.

"Memang ada bau masa ronda, saya pun pedih mata, tekak rasa perit dan mual," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Difahamkan seramai 28 murid perempuan dan lima murid lelaki sekolah itu dikesan mengalami simptom pencemaran udara, pening serta muntah dan kesemua mangsa mendakwa ada menghidu bau seperti kelapa sawit terbakar.

Sementara itu, Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba Ibrahim Omar berkata, terdapat murid pengsan dan muntah-muntah di lokasi.

Iklan

"Setibanya di tempat kejadian, terdapat murid yang pengsan dan muntah-muntah. Punca masih belum dikenal pasti.

"Seramai 29 mangsa dibawa ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan, manakala empat lagi dibawa balik oleh ibu bapa murid," katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor menerima panggilan kecemasan jam 11.15 pagi dan satu unit van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta sebuah jentera dikejarkan ke lokasi bersama tujuh anggota dari Balai Bomba Pasir Gudang.

Pasukan kedua dikejarkan ke sekolah tersebut dengan sembilan anggota dan sebuah jentera.