HARI berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Setiap daripada kita telah menempuh pelbagai cerita dan peristiwa yang sudahpun terakam menjadi sejarah.
Sesungguhnya ALLAH SWT tidak menjadikan suatu peristiwa itu sebagai sia-sia. Bahkan setiap babak yang direntas tersingkap bermacam ibrah dan hikmah yang boleh diambil pengajaran untuk dijadikan barometer terhadap kehidupan yang mendatang.
Sebenarnya terlalu banyak sejarah dan peristiwa yang telah dicatatkan oleh penghulu kita, Nabi Muhammad SAW sejak baginda dilahirkan hingga selesai menunaikan amanahnya sebagai utusan ALLAH SWT.
Hasilnya, terbentuknya komuniti yang beriman kepada ALLAH, bebas daripada kemusyrikan, kekufuran dan kemunafikan, selain komuniti yang selalu memberi dan memelihara keamanan, kesejahteraan dan ketenteraman, sama ada sesama Muslim mahupun terhadap bukan Islam yang hidup di sekelilingnya.
Antara catatan terbesar dalam sejarah Islam ialah peristiwa hijrah Rasulullah SAW bersama para sahabatnya dari Kota Makkah ke Kota Madinah.
Peristiwa tersebut telah menzahirkan tokoh-tokoh yang kental jiwanya dalam mempertahankan prinsip yang diyakini, tegar mempertahankan akidah dan gigih dalam memperjuangkan kebenaran.
Hijrah dalam suatu konsep menunjukkan kewajipan menggerakkan negara berdaulat yang dipimpin oleh Islam dan penganutnya yang memahami, beriman dan menghayati ajarannya.
Matlamat utamanya adalah meneruskan risalah para rasul pada akhir zaman dan membawa rahmat bagi seluruh manusia yang majmuk ketika mereka berada dalam kegelapan jahiliyah yang memuncaknya kezaliman dan kejahatan di seluruh dunia.
Erti hijrah
Pengertian hijrah dapat dibahagikan kepada beberapa sisi. Secara umumnya, semua pengertian perkataan hijrah itu membawa kesimpulan menghindari, menjauhi diri daripada sesuatu sama ada dengan raga, lisan dan hati.
Pengertian-pengertian itu dibuat berdasarkan konseptual hijrah yang banyak terkandung dalam al-Quran. Secara mudah, hakikat hijrah itu dapat dilihat dalam dua bahagian.
Pertama, menyucikan diri dalam erti kata menjauhi kemaksiatan dan penyembahan berhala.
Ia sebagaimana firman ALLAH SWT:"Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi." (Surah al-Muddaththir, ayat 5)
Dalam ayat lain, ALLAH berfirman: "Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik." (Surah al-Muzzammil, ayat 10)
Kedua-dua ayat tersebut diturunkan pada awal usaha dakwah Nabi Muhammad SAW iaitu pada ketika ALLAH SWT memerintahkan Nabi Muhammad SAW menjauhkan diri dari perbuatan keji dan munkar serta menjauhi perbuatan syirik dan dosa seperti yang telah dilakukan oleh orang-orang musyrik di Kota Makkah pada waktu itu.
Matlamatnya, dengan hijrah itu, hati, perkataan dan perbuatan menjadi bersih daripada segala maksiat, dosa dan kesyirikan.
Hijrah pada hakikatnya merupakan suatu yang sangat berat. Ia memerlukan kesabaran dan juga ketahanan ideologi serta keyakinan.
Ia supaya manusia tidak mudah kalah dengan rayuan dan godaan kenikmatan dunia yang fana dan kekal utuh ketika menerima ujian yang akan sentiasa menjadi penghalangnya.
Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya atas petunjuk Tuhan. Ada perkara-perkara yang sangat menarik yang berlaku dalam peristiwa hijrah berkenaan.
Dengan berlakunya hijrah, Madinah didiami oleh pelbagai suku bangsa yang menganut agama dan kepercayaan yang berbeza. Para sejarawan berbeza pendapat dalam merumuskan golongan penduduk yang terdapat di Madinah pasca hijrah.
Peranan anak muda
Jika ditelusuri dari aspek sejarah, hijrah memiliki beberapa hikmah yang sangat besar. Antaranya peristiwa hijrah mengajar kita bahawa segala sesuatu itu memerlukan persiapan dan perencanaan yang matang.
Tidak memadai dengan sekadar berdoa semata-mata. Doa yang dipanjatkan setiap malam jika tidak disertai dengan persiapan, perancangan dan pelaksanaan hanya akan menemui kegagalan.
Dalam peristiwa hijrah, kita dapat melihat bahawa Nabi Muhammad SAW telah melakukan persiapan dan perancangan yang cermat, tepat, teliti, matang dengan pembahagian-pembahagian tugas yang sesuai.
Kedua, para pendukung hijrah Nabi Muhammad SAW itu kebanyakannya terdiri daripada para pemuda. Saidina Ali bin Abi Talib yang menggantikan nabi untuk tidur di tempat tidur baginda. Kemudian Amir bin Tahirah, Abdullah bin Abu Bakar dan seorang yang bertugas untuk membuka jalan bernama Mas’ad bin Umair.
Di sini, terlihat betapa peranan pemuda dalam peristiwa hijrah itu begitu besar. Gerakan Islam berjaya meyakinkan bahawa para pemuda banyak berperanan dalam perjuangan. Seterusnya, hikmah yang dapat diambil daripada peristiwa hijrah adalah bahawa pentingnya disiplin.
Peristiwa hijrah juga memperlihatkan kepada kita bahawa terbentuknya Dar al-Islam (Negara Islam) di Madinah dan kaum Muslimin mempunyai negara tersendiri.
Oleh sebab itu, momentum hijrah pada intipatinya ialah titik perubahan dan transformasi yang sangat penting dalam kehidupan Muslim dan sejarah Islam.
Transformasi daripada kenyataan nafsi-nafsi tanpa ukhuwah kepada kewujudan integriti ummatan wahidah (umat yang bersatu) dalam akidah, ibadah dan akhlak.
Peringatan hijrah itu juga bertindak sebagai titik mula bagi membentuk perubahan sama ada pada diri, keluarga, komuniti, masyarakat umum serta negara keseluruhannya.
***Mohammad Zaki Yahpar Yahya merupakan Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.