Penghuni empat rumah tinggal sehelai sepinggang

Iklan
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat sibuk memadamkan kebakaran membabitkan empat rumah di Kampung Padang Pohon Tanjong hari ini. - Foto BERNAMA

TUMPAT - Penghuni empat buah rumah di Kampung Padang Pohon Tanjong, Tumpat, di sini tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka hangus terbakar dalam kebakaran pagi tadi.

Ketua Zon Kota Bharu, Penguasa Kanan Bomba II Syobirin Abd Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9 pagi dan sebuah jentera pertama bersama anggota serta pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu bergegas ke lokasi dan tiba enam minit kemudian.

Iklan
Iklan

"Seramai 40 pegawai dan anggota dari BBP Wakaf Bharu, Tumpat, Kota Darulnaim dan Tunjong bersama dua Pasukan Bomba Sukarela (PBS) terbabit dalam operasi pemadaman,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, semasa pihak bomba sampai, api tengah marak dan disebabkan jarak rumah kediaman yang rapat, api merebak dengan pantas.

Iklan

"Kami menggunakan dua sumber air iaitu dari pili bomba dan sumber air terbuka dari tali air berhampiran. Kebakaran dapat dikawal dalam tempoh 25 minit,” katanya.

Syobirin berkata, dalam kejadian itu juga tiga rumah lain yang berdekatan turut terbakar namun hanya melibatkan kira-kira 20 hingga 80 peratus.

Iklan

Katanya tiada kematian atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu dan jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang mangsa Husin Ali, 80, berkata ketika kejadian, beliau berada di kedai kopi sebelum dimaklumkan rumahnya terbakar.

"Sebaik tiba di rumah, tiga cucu saya serta penduduk kampung sedang cuba memadamkan api dengan menjirus air menggunakan baldi.

"Saya pula hanya mampu melaungkan Allahuakbar sahaja kerana panik dan tidak menyangka musibah ini menimpa kami sekeluarga,” katanya.- Bernama