BANTING - Seorang warga emas wanita yang sedang menyapu sampah di laman rumahnya disamun tiga lelaki bersenjatakan parang pagi tadi.
Dalam kejadian jam 10.10 pagi di Jalan Emas 18 Bandar Sungai Emas di sini, wanita berusia 60 tahun itu cedera di muka.
Timbalan Ketua Polis Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, polis yang bertugas di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kuala Langat menerima aduan daripada jiran mangsa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika kejadian warga emas itu dikatakan sedang menyapu sampah di laman rumahnya sebelum disamun tiga lelaki yang memakai topeng muka serta bersenjatakan parang.
"Suspek datang menaiki kereta jenis Mazda 3 dengan nombor pendaftaran palsu. Semakan ke atas nombor pendaftaran didapati ia didaftarkan ke atas kenderaan jenis Honda CRV," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Kamalariffin berkata, mangsa yang cedera di muka kini dalam keadaan stabil dan masih dirawat di hospital.
"Keterangan mangsa masih belum direkod memandangkan dia masih dirawat di hospital dan jumlah kerugian juga belum dapat dikenalpasti," katanya.
Katanya, usaha mengesan suspek kini sedang giat dilaksanakan dan mana-mana saksi yang melihat kejadian diminta tampil untuk membantu dan mempercepatkan siasatan sehingga tertangkapnya semua suspek.