KEMAMAN - Skuad Sabil Terengganu membuat laporan polis berhubung kenyataan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin yang mendakwa skuad itu sebagai ‘pak guard dari Bangladesh’.
Laporan tersebut dibuat Pengerusi Skuad Sabil Terengganu merangkap Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Mohd Fadini Rahim dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Hashim Ali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada jam 8.55 malam tadi.
Mohd Fadini berkata, kenyataan Tze Tzin itu dianggap sangat biadab dan rasis.
"Tindakan timbalan menteri ini seolah-olah memperlekehkan badan beruniform dan juga rasis kerana melabelkan orang Melayu sebagai ‘pak guard Bangladesh’.
"Oleh itu, Pemuda UMNO Kemaman mendesak Tze Tzin untuk bertanggungjawab atas kenyataannya yang berbaur perkauman dan disiasat oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Turut hadir barisan ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman.
Mengulas lanjut katanya, Skuad Sabil ditubuhkan Pemuda UMNO atas semangat sukarelawan yang memfokuskan kerja kebajikan dan kebaikan terhadap ummah.
Katanya, inisiatif itu diambil supaya anak muda mendekatkan diri kepada ummah melalui kerja kebajikan.
Ahad lalu, Tze Tzin dalam Facebook peribadinya memuat naik sekeping gambar Skuad Sabil bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dengan petikan kata 'Akhirnya, 1 juta Pak Guard dari Bangladesh telah sampai'.