GOMBAK -"Sudah tiba masanya untuk Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memenuhi keperluan rakyat sekiranya tidak mahu menjadi kerajaan sepenggal," kata Ketua Dasar dan Strategi Bersatu, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff.
Menurutnya, beliau menasihati kerajaan supaya tidak memperjuangkan pembaharuan yang tidak diinginkan rakyat seperti projek kereta terbang, kereta nasional ketiga dan Gojek.
"Rakyat nak letak makanan dalam pinggan pun tak ada. Tapi kerajaan bercakap tentang kereta terbang, kereta nasional ketiga dan Gojek yang hanya memberi pendapatan jangka pendek.
"Saya bukan bercakap sebagai pembangkang tetapi wakil kerajaan, saya nak ingatkan, sudah tiba masanya untuk PH memenuhi kehendak rakyat. Dan paling penting, tunaikan manifesto PRU14," katanya pada Seminar PRU14: Implikasi pilihan raya kecil kepada PRU15 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini hari ini.
Rais menyenaraikan lima keperluan utama yang diharapkan oleh rakyat iaitu penambahbaikan kos sara hidup, kualiti hidup, penyediaan peluang pekerjaan terjamin kepada anak muda, rumah mampu milik dan kesihatan.
"PH masih belum terlambat untuk mendengar denyut nadi dan keperluan rakyat. Gabungan kerjasama UMNO dan Pas kini sedang melakukan perkara itu (dengar masalah rakyat), PH masih belum terlambat, kita masih ada lebih kurang tiga tahun setengah untuk memenuhi kehendak rakyat.
"Kerajaan kena sedar, pengangguran anak muda ketika ini paling tinggi, sebab itu saya katakan Gojek bukan penyelesaian terbaik, ia hanya pendapatan untuk tampung sara hidup, sediakan peluang kerjaya yang setimpal dengan kelulusan anak muda kita. Fikirkan penyelesaian jangka panjang," katanya.
Tegasnya, langkah baharu kerajaan meminda umur pengundi kepada 18 tahun boleh menguntungkan PH atau menjadi perangkap.
"Undi 18 tahun boleh dimanfaatkan oleh PH atau sebaliknya. Perlu diingatkan, anak muda bukan kategori yang setia.
"Jika PH tidak berikan apa yang anak muda mahukan, mereka akan cari di tempat lain. Jangan lupa, UMNO dan Pas sedang mendengar rakyat. Cukuplah dengan kereta terbang, kereta nasional ketiga dan Gojek, itu bukan yang anak muda mahukan," katanya.
Rais menyatakan, adakalanya beliau tidak bersetuju dengan Pengerusi Bersatu yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan veteran politik, Tan Sri Rafidah Aziz berkenaan manifesto.
"Mengatakan manifesto bukan kitab suci dan manifesto tidak penting serta membebankan, itu saya tidak setuju. Manifesto mesti ditunaikan, kalau tak dapat penuhi 100 peratus, sekurang-kurangnya 75 atau 80 peratus sudah menyenangkan rakyat.
"Berdasarkan kajian, data yang direkodkan, PH sudah tunaikan 39 peratus janji manifesto PRU14 namun, rakyat masih belum merasai dan menikmati janji tersebut," jelas Rais.