Tun M gesa nelayan tempatan tingkatkan tangkapan hasil laut

Iklan
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab pertanyaan media Malaysia pada sidang media sebelum mengakhiri lawatan rasmi selama tiga hari di Hanoi Vietnam hari ini. - Foto BERNAMA

HANOI – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan nelayan tempatan agar mengambil peluang meningkatkan tangkapan hasil laut, sekali gus dapat mengurangkan pencerobohan nelayan asing di perairan Malaysia.

Dr Mahathir yang mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam hari ini berkata isu pencerobohan nelayan asing termasuk nelayan Vietnam di perairan Malaysia merupakan antara isu yang dibincangkan dalam mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatan beliau, Nguyen Xuan Phuc.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihak berkuasa Malaysia telah banyak mengambil tindakan terhadap nelayan asing yang menceroboh perairan negara namun ia tidak dapat menyelesaikan isu tersebut sepenuhnya kerana nelayan tempatan perlu memainkan peranan masing-masing.

"Sebenarnya, perairan negara kita kaya dengan hasil lautan. Apabila orang lain masuk tangkap ikan, kita marah. Apabila nelayan tempatan buat bot sendiri tetapi tidak menjadi nelayan sebaliknya duduk di rumah sahaja.

Iklan

"Kalau suruh orang lain tangkap ikan untuk kita, mereka pula jual ikan di laut dan hasil tidak bawa masuk ke daratan,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia sebelum mengakhiri lawatan rasmi beliau hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa sebanyak 748 bot nelayan dan 7,203 tekong serta awak-awak Vietnam ditahan kerana menceroboh perairan Malaysia.

Iklan

Lawatan Dr Mahathir ke Vietnam kali ini adalah atas undangan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc. Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Vietnam terjalin sejak 1973.

Kali terakhir Dr Mahathir melakukan lawatan kerja ke Vietnam ialah dalam tahun 1998 bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN.- Bernama