KUALA LUMPUR- Tekanan akibat lambakan kerja sekolah, pengaruh aplikasi permainan video atau faktor kemurungan, adalah antara perkara yang sedang dilihat kerajaan bagi mengenal pasti punca pelajar sekolah bertindak nekad sehingga sanggup membunuh diri.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata permasalahan itu penting untuk diketahui bagi memastikan pelajar yang mempunyai masalah atau berdepan tekanan dapat dibantu dari awal bagi mengelak mereka mempertaruhkan nyawa sendiri.
Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), berkata tragedi kematian seorang pelajar berusia 13 tahun di Pulau Pinang yang dilapor membunuh diri dengan cara menggantung diri dipercayai akibat tertekan dengan lambakan kerja sekolah pada Sabtu lepas, tidak seharusnya berulang.
"Kes itu kini sedang disiasat polis, namun pada masa sama kita mahu tahu kalau-kalau ada masalah dalam talian (online) kerana dikatakan ada permainan yang mengajak seseorang itu bunuh diri selain juga pergaulan bersama rakan-rakan.
"Pada masa sama, kita juga tengok kepada kerja sekolah dikatakan terlampau banyak sehingga memberi tekanan...kita tengok dari semua segi dan apa membolehkan kita menolong mana-mana pelajar sebelum mereka sampai ke tahap itu (membunuh diri),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kolej Komuniti Selayang, di sini hari ini.
Dr Wan Azizah juga menyeru pelajar yang mengalami tekanan atau kemurungan supaya tidak berdiam diri, sebaliknya meminta bantuan dan meluahkannya sama ada kepada ibu bapa, keluarga, rakan sebaya atau menggunakan talian bantuan serta menghadiri sesi kaunseling.
"Kalau kita ada masalah atau kemurungan, terutamanya anak muda, cakaplah dan luahkan dengan orang kerana ia salah satu cara untuk mengurangkan kemurungan dan kecenderungan untuk membunuh diri.
"Kita ada Talian Kasih 15999 dan juga talian Befrienders, malah kaunseling di sekolah-sekolah atau di KPWKM sentiasa terbuka untuk mereka yang memerlukan untuk datang agar dapat dibantu,” katanya.
Sementara itu, Dr Wan Azizah mengingatkan ibu bapa agar sentiasa berwaspada dan mengawasi penggunaan internet oleh anak-anak bagi mengelak dan menjauhkan mereka daripada menjadi ketagih kepada pornografi.
Beliau berkata meskipun kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk memerangi gejala negatif itu, ibu bapa perlu mengambil tanggungjawab agar ia tidak menjadi semakin parah.
"Ibu bapa mestilah mengambil tanggungjawab melihat apa yang anak mereka layari di internet kerana ini adalah perkara yang sekarang ini tular dan menjadi masalah.
"Anak-anak muda ini, kita kena jaga agar janganlah pornografi menjadi ketagihan...ia salah satu kepada masalah penyakit mental di negara ini,” katanya mengulas pendedahan Pertubuhan Ikram Malaysia baru-baru ini, bahawa terdapat kanak-kanak berusia antara 10 dan 14 tahun ‘menjual diri’ di beberapa aplikasi media sosial seperti Bigo Live, Instagram dan WeChat.
Dr Wan Azizah berkata kerajaan sedar dan prihatin dengan isu tersebut malah sudah memperkenalkan pelbagai inisiatif, antaranya modul Sekeluarga Tolak Pornografi (STOP) melalui Persatuan WADAH Pencerdasan Umat Malaysia, Child Online Policy (COP), dan program Klik Dengan Bijak oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Beliau berkata kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-5 yang dilaksanakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2014 mendapati 35.3 peratus remaja terdedah kepada bahan lucah dan sumber utama adalah daripada internet (60.8 peratus).
Katanya, sumber utama kepada masalah pornografi itu ialah melalui gajet yang mempunyai akses kepada internet seperti telefon pintar.
Mengenai Kolej Komuniti Selayang, Dr Wan Azizah berkata Program Pengajian Sijil Kemahiran Khas yang ditawarkan Kementerian Pendidikan itu menyaksikan seratus peratus pelajar orang kelainan upaya dan autistik berjaya mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian.- Bernama