Pelajar maut dilanggar lori di hadapan sekolah

Iklan
Polis mengawal lalu lintas di kawasan lokasi kemalangan yang meragut nyawa Mohamad Nur Akmal. Gambar kecil: Mohamad Nur Akmal

KOTA BHARU - Seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kerian 1 maut selepas motosikal ditunggang bersama rakannya dilanggar sebuah lori di hadapan pintu masuk utama sekolah mereka di Kubang Kerian di sini petang tadi.

Dalam kemalangan pada jam 3.15 petang itu, mangsa, Mohamad Nur Akmal, 15, meninggal dunia di lokasi kejadian kerana kecederaan parah di kepala manakala rakannya yang membonceng cedera.

Iklan
Iklan

Bapa mangsa, Daud Dollah, 57, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anak bongsu daripada enam beradik itu setelah dimaklumkan oleh seorang individu ketika berada di rumahnya di Kampung Pulun berhampiran Balai Polis Kubang Kerian.

"Saya fikirkan anak hanya kemalangan biasa sahaja dan tidak menyangka pula apabila sampai tempat kejadian anak kesayangan saya sudah terkulai tidak bernyawa.

Iklan

"Pada mulanya saya hanya diberitahu dia terbabit dalam kemalangan dan tidak menyangka ianya meragut nyawa kerana mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala,” katanya kepada pemberita di pekarangan Unit Jabatan Forensik Hospital Universiti Kubang Krian (HUSM) di sini hari ini.

Daud berkata, menjadi rutin anaknya itu pergi ke sekolah dengan menaiki motosikal milik rakannya namun, jarang menunggang motosikal sendiri.

Iklan

"Dia tidak biasa bawa motosikal dan saya pun selalu menasihatinya sentiasa berhati-hati, namun sudah takdir dia pergi dengan cara ini.

"Saya tidak menyangka kali ini kemalangan meragut nyawa menimpa anak saya sendiri, namun kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Menurutnya, arwah seorang anak yang sangat baik, periang dan peramah dalam keluarga dan dengan sesiapa sahaja.

"Sedih apabila memikirkan arwah tidak sempat mengambil ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini memandangkan dia seorang yang rajin belajar.

"Di sekolah arwah dikenali sebagai pelajar yang aktif menyertai pertandingan pentas seperti menyanyi dan tilawah al-Quran.

"Selepas ini tiada lagi riuh rendah suaranya di rumah yang menjadi penyeri buat kami sekeluarga,” katanya.

Katanya, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Kenali, Kubang Kerian di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Mayat dihantar ke HUSM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.