Amirudin disaran beri taklimat lengkap isu pindaan enakmen

Iklan
Amirudin Shari

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari disaran memberikan taklimat lengkap dan mengadakan perbincangan lebih mendalam berkaitan isu pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor di Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) Jumaat ini.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, Biro Politik PKR mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Amirudin hari ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam mesyuarat itu Amirudin sudah memberikan taklimat berkenaan pindaan kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor.

"Namun Biro Politik menyarankan menteri besar (Amirudin) memberikan taklimat penuh serta adakan perbincangan lebih mendalam berkenaan isu ini ketika Majlis Presiden PH Jumaat ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Iklan

Terdahulu beliau berkata, dalam mesyuarat sama, Amirudin turut memberikan taklimat berkenaan perkembangan terkini program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Selangor.

Ia katanya, termasuk program air percuma, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan lain-lain.

Iklan

"Biro Politik berharap program ini ditambah baik secara berterusan dengan memastikan kumpulan sasar golongan B40 sentiasa menjadi keutamaan di samping pendanaan program yang perlu bersifat lestari,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan cadangan pindaan enakmen negeri berkaitan penukaran agama anak di bawah umur akan dibawa semula ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang jika dilihat ada kepentingan.

Katanya, perkara tersebut masih dibincangkan di peringkat negeri dan ia memerlukan masa untuk menerangkan mengenai perkara itu.

"Ia adalah sesuatu yang luas dan tidak difahami dengan sepenuhnya,” katanya.