PUTRAJAYA - Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mendedahkan permintaan mereka yang tidak dilayan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan antara punca beliau dan beberapa pimpinan lain tidak menghadiri mesyuarat parti.
Menurut Zuraida, sebanyak tiga pucuk surat telah dihantar kepada Anwar untuk membolehkan beliau dan beberapa pemimpin lain bertemu tetapi permintaan itu tidak mendapat maklum balas yang diharapkan.
"Untuk peringkat awal cukup saya katakan ada beberapa perkara yang kita buat permintaan pada presiden (Anwar) yang setakat ini beliau belum tunaikan.
"Ia adalah untuk bertemu presiden. Permintaan itu untuk kita berdamai dan selesaikan beberapa perkara...ia pertemuan presiden bersama anggota Majlis Pimpinan Pusat yang dipilih dalam pemilihan parti," katanya.
Menurut Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika ditemui media selepas melancarkan Kayuhan Wanita 2019 Semarak Dasar Komuniti Negara di kementeriannya di sini hari ini, surat-surat itu dihantar ke pejabat presiden dan hanya surat pertama dijawab yang menyatakan Anwar ke Makkah.
Anggota Parlimen Ampang itu berkata, mereka kemudiannya menghantar surat kedua, disusuli surat ketiga pada Isnin lepas tetapi sehingga kini kesemua surat berkenaan tidak mendapat maklum balas daripada presiden PKR itu.
Selain Zuraida, beberapa pimpinan yang disifatkan berada di kem Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali termasuk Pengerusi PKR Selangor yang juga Menteri Besar Amirudin Shari tidak hadir ke beberapa mesyuarat parti termasuk Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat pada Ahad lepas. - Bernama