SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menjelaskan bahawa pihaknya meminta untuk mencari konsensus terbaik dalam pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) berhubung isu pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor.
Menurut beliau, langkah itu adalah bagi membolehkan Kerajaan Selangor membuat perancangan seterusnya berhubung pindaan enakmen tersebut pada masa hadapan.
Beliau berkata, mesyuarat bersama Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) petang tadi adalah bertujuan bagi membolehkan beliau melaporkan perkembangan enakmen tersebut memandangkan pihaknya tidak berkesempatan berbuat demikian sebelum ini.
"Saya melaporkan apa yang telah berlaku dan beberapa perkembangan terhadap enakmen tersebut memandang saya belum sempat berbuat demikian secara rasmi sebelum ini.
"Dan antaranya memang (ada) permohonan saya untuk kita bincangkan di peringkat tertinggi PH (untuk) mencari konsensus terbaik supaya kita dapat merancang (enakmen) ini pada masa hadapan," katanya selepas Majlis Temu Rapat Naib Canselor dan Pengurusan Kanan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bersama Menteri Besar Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) malam ini.
Terdahulu, Biro Politik PKR menyarankan Amirudin memberikan taklimat lengkap dan mengadakan perbincangan lebih mendalam berkaitan isu pindaan berkenaan kepada Majlis Presiden PH Jumaat ini.
Mengulas mengenai penjajaran beberapa Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) di Selangor, Amirudin berkata secara asasnya Biro Politik PKR menerima pelaksanaan tersebut dan meminta supaya pihaknya memberikan pemakluman di peringkat akar umbi.
"Sebenarnya saya telah lakukan beberapa kali dalam mesyuarat parti, pertemuan dengan ahli majlis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tentang asas penjajaran IPR.
"Yang penting bagi kita adalah kemampanan kepada program dan bukannya menjadi populis dalam tempoh singkat," katanya.