SUBANG - Sunway Berhad mengambil inisiatif dengan menyumbangkan sebuah mesin ATM Beras kepada jawatankuasa Masjid Al Husna Bandar Sunway sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).
Pengurus Besar CSR, Penjenamaan Dalaman, Kumpulan Pemasaran Jenama dan Komunikasi Sunway, Bernard Paul Netto berkata, dengan penyerahan tersebut pihaknya menyasarkan untuk membantu golongan asnaf dan B40 bagi mendapatkan sumbangan beras yang didermakan dengan lebih sistematik melalui sistem mesin berkenaan.
Menurutnya, setiap penerima asnaf yang dikenalpasti akan diberikan sekeping kad khas bagi membolehkan mereka mengambil bantuan beras di mesin berkenaan pada setiap minggu.
"Mereka yang layak menerima sumbangan ini hanya perlu menyentuh kad berkenaan pada mesin ini dan beras yang dibekalkan hasil sumbangan akan keluar pada slot khas yang berada di bawah mesin ini.
"Pada saya idea ini memang sangat inovatif kerana cara pengagihannya lebih sistematik dan tidak perlu menggunakan tenaga kerja yang ramai," katanya ketika ditemui Sinar Harian di masjid berkenaan hari ini.
Mengulas lanjut, Bernard berkata, buat masa ini Sunway telah menyumbangkan sebanyak lapan buah mesin ATM Beras di empat buah negeri iaitu Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Johor.
Katanya, penyerahan mesin berkenaan juga dapat memastikan penerima yang berkelayakan mendapat bantuan secara terus pada setiap minggu.
"Kita dapati sebelum ini ada penerima yang menjual semula beras yang diberikan dan melalui sistem ini kita dapat mengenal pasti siapa golongan asnaf yang mendapat bantuan ini menerusi kad yang diberikan kepada mereka.
"Jumlah pemberian beras juga ditentukan oleh pihak masjid mengikut bilangan tanggungan ahli keluarga asnaf terlibat," katanya.
Di samping itu Bernard berkata, orang ramai yang ingin menyampaikan sumbangan wang tunai juga boleh berbuat demikian melalui mesin ATM Beras ini menerusi slot khas yang disediakan.
"Wang yang disumbangkan itu akan digunakan bagi membeli beras untuk disumbangkan kepada asnaf dan golongan B40 terlibat," katanya.
Sementara itu, Pengurus Pegawai Hal Ehwal Islam Masjid Al Husna Bandar Sunway, Alfian Izaz Abdul Halim berkata, pihaknya juga turut berkolaborasi dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi mengenal pasti golongan asnaf yang berkelayakan untuk menerima bantuan menerusi ATM Beras itu.
Katanya, LZS membekalkan lebih 100 nama penerima asnaf yang berkelayakan bagi memudahkan mereka mengenalpasti pihak berkelayakan untuk menerima sumbangan itu.
"Buat masa ini masjid memberikan beras sebanyak 2 kilogram buat setiap asnaf terlibat pada setiap hari Jumaat.
"Penyerahan mesin ini amat bermakna buat kami kerana ia memudahkan pihak masjid untuk memberikan sumbangan kepada asnaf-asnaf terlibat," katanya.