Sarapan percuma: YBK sambut baik program KPM

Iklan
Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz

SHAH ALAM - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan program sarapan pagi percuma kepada murid sekolah rendah bermula tahun depan.

Pengurus Besarnya, Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz berkata, inisiatif itu dilihat sebagai serampang dua mata bagi menggalakkan kehadiran murid ke sekolah.

Iklan
Iklan

"Selain itu, pemberian sarapan percuma memastikan murid mendapatkan nutrisi terbaik bagi tumbesaran dan galakan minda melalui sesi pembelajaran," katanya dalam satu kenyataan medianya semalam.

Muhammad Sherhan berkata, inisiatif terbabit turut membantu bukan sahaja golongan kurang berkemampuan luar bandar malah golongan keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan di bandar juga mendapat manfaat.

Iklan

"Mengikut data kemiskinan YBK, masih terdapat ramai dalam kalangan murid yang hadir ke sekolah dalam keadaan lapar dan tidak bersarapan kerana perlu membelanjakan wang mereka bagi pengangkutan ke sekolah, keperluan pembelajaran dan kelas atau menyimpan dalam tabung simpanan pelajaran.

"Manfaat program seperti ini pastinya meringankan beban ibu bapa yang tertekan dengan kos sara hidup tinggi terutama ibu bapa berpendapatan rendah mempunyai anak ramai, pasti mereka tidak mampu menyediakan makanan mengikut diet yang sesuai bagi kesemua anak-anak mereka setiap hari," katanya.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu menekankan soal pemakanan enak sahaja, tetapi keperluan nutrisi bagi perkembangan kecerdasan dan kecergasan minda serta fizikal murid.

"YBK percaya pihak KPM juga cakna dengan keperluan mikro nutrien yang kurang diambil murid dalam proses tumbesaran mereka seperti kalsium, zat besi, zink, folat dan iodin," katanya.

Katanya, jawatankuasa yang ditubuhkan diharap mengumpul makluman secara menyeluruh bukan sahaja dari pihak kementerian berkaitan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan hasil kaji selidik, tetapi turut melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan terlibat.

"Usaha ini penting bagi memastikan murid kekal cerdas dan cergas selain daripada berusaha mendapatkan keputusan cemerlang dalam pelajaran," katanya.